KUANTAN - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar mencari lembu di Hutan Simpan Sementah, Lanchang, Temerloh pada Isnin ditemukan selamat pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, lelaki berusia 50 tahun itu ditemui jam 4 petang di Kampung Bongsu kira-kira tujuh kilometer dari kawasan dia dilaporkan hilang.
Menurutnya, kehilangan mangsa sebelum itu disedari isterinya jam 12.30 tengah malam selepas lelaki itu tiada di rumah.
"Bagaimanapun mangsa ada menghubungi anaknya yang berada di Putrajaya jam 8.50 pagi itu memaklumkan dia berada di dalam hutan dalam keadaan letih dan suara tidak bermaya.
"Isterinya cuba menghubungi mangsa kembali namun panggilan tidak dijawab," katanya.
Mohd Sallahuddin berkata, syak suaminya tersesat di hutan, wanita terbabit membuat laporan polis pada Selasa untuk tindakan selanjutnya.
"Berdasarkan maklumat awal rakannya, mangsa dipercayai ke kawasan hutan berkenaan untuk mencari lembu yang hilang.
"Motosikal milik mangsa ditemui di kawasan jalan pinggir Hutan Kampung Sementeh oleh rakan-rakannya yang melakukan pencarian awal," ujarnya.
Beliau berkata, susulan panggilan diterima, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) awal.
Katanya, operasi pencarian turut melibatkan anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam.(APM) dan penduduk kampung.