JPN Kelantan jamin siasatan telus kes pelajar patah hidung, retak bahu

Iklan
Siti Norina (gambar kiri) berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kes berkenaan selain bekerjasama rapat dengan PDRM.

KOTA BHARU - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan memberi jaminan siasatan telus dan terperinci akan dijalankan terhadap kes seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga yang patah hidung dan retak bahu dipercayai dipukul pelajar lain dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Tanah Merah pada 30 April lalu.

Pengarah JPN Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kes berkenaan selain bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia.

Iklan
Iklan

“Kes sudah menjadi kes polis. Siasatan lanjut mengenainya diserahkan kepada pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita pada Selasa.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, mangsa berusia 15 tahun mendakwa dipukul seorang pelajar perempuan sebaya susulan perselisihan berkaitan isu ponteng.

Iklan

Menurut ibu mangsa, kejadian dipercayai berpunca daripada jawapan spontan anaknya ketika seorang guru bertanyakan mengenai ketidakhadiran beberapa pelajar dalam satu aktiviti kokurikulum.

Katanya, guru berkenaan bertanya mengenai pelajar lain yang tidak hadir kerana jumlah pelajar yang menyertai aktiviti itu tidak ramai.

Iklan

Mangsa kemudian dikatakan menjawab secara spontan, “tak tahu, ponteng kot”, tanpa berniat memberitahu atau mengadu mengenai mana-mana pelajar.

Menurutnya, pertengkaran berlaku pada keesokan harinya sebelum anaknya didakwa ditarik dan kepalanya dihentak ke papan putih.

Akibat kejadian itu, darah mengalir dari hidung dan mulut mangsa, selain memerlukan lima jahitan bagi merawat luka pada mulut.

Mangsa juga dijadualkan menjalani pembedahan sekiranya masalah saraf lengan yang terkepit berterusan.

Selain kecederaan fizikal, mangsa turut mengalami trauma akibat kejadian berkenaan dan masih menjalani rawatan psikiatri sehingga kini.

Mangsa juga mendapatkan rawatan susulan dengan pakar tulang serta pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) serta pakar mulut.

Sementara itu, Siti Norina berkata, JPN turut menyediakan bantuan bimbingan psikososial kepada pihak yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

“Pada masa sama, kami sentiasa memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah terjamin,” katanya.

Atas nasihat pakar susulan trauma yang dialami, mangsa berpindah ke sebuah sekolah baharu di Jeli pada 16 Ogos lalu.

Keluarga mangsa turut membuat laporan polis pada hari kejadian selain mendapatkan khidmat peguam bagi mengambil tindakan saman sivil berhubung kes berkenaan.