LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) akan ditutup bermula 7 September depan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja baik pulih sebelum penganjuran Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain pada 2 hingga 4 Oktober depan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kerja-kerja berkenaan bukan sahaja membabitkan persiapan trek, malah turut meliputi kemudahan lain termasuk tempat duduk dan tandas bagi memastikan litar berada pada tahap terbaik.
"Kerja baik pulih pun kita nak tengok bukan sahaja trek, tetapi kerusinya, tandas dan semua elemen kerana ini mencerminkan imej negara di peringkat dunia," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di sini pada Selasa.
Menurutnya, gerak kerja persiapan F1 kini sedang berlangsung menerusi tiga jawatankuasa utama iaitu induk, teknikal serta jawatankuasa kecil.
Mohammed Taufiq berkata, jawatankuasa teknikal turut bermesyuarat setiap Selasa sebelum membentangkan hasil perbincangan menerusi mesyuarat Kabinet.
"Setakat hari ini, alhamdulillah kita telah pun memeterai ataupun menandatangani perjanjian antara SIC dan Bahrain International Circuit.
"Kita telah menyetujui beberapa perkara dalam perjanjian tersebut termasuk dari segi penjualan tiket, parkir dan sebagainya," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya mahu memastikan penganjuran F1 selama tiga hari itu memberi kesan positif dan limpahan ekonomi kepada rakyat Malaysia.
Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, penjagaan kesihatan atlet kekal menjadi keutamaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) susulan keadaan jerebu yang melanda di beberapa kawasan ketika ini.
"Bagaimanapun ia tidak menyekat sebarang persiapan dan juga latihan untuk atlet kita, khususnya untuk berjuang dan bertanding di temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dalam masa terdekat ini.
"Semua persiapan telah pun dibuat dengan begitu baik, begitu rapi, dan juga kita menyasarkan untuk kali ini kita menetapkan berdasarkan warna pingat, seperti yang telah pun kita laksanakan pada temasya Sukan Komanwel yang lepas," katanya.
Terdahulu, Mohammed Taufiq turut melancarkan Program Semarak Cinta Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan di Masjid Kariah Bandar Perdana pada Selasa yang dihadiri kira-kira 2,000 pengunjung.