Doa setiap hari jadi kekuatan besarkan 15 anak

Iklan
Yang (duduk, tengah) bersama sebahagian ahli keluarga yang hadir bagi meraikan kejayaan menerima Anugerah Keluarga Ammar bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali) sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak Tahun 1448H/2026M di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Selasa.

IPOH - Doa dan tawakal kepada ALLAH menjadi amalan seorang ibu setiap hari ketika membesarkan 15 anak sehingga semuanya berjaya dalam kehidupan masing-masing.

Begitulah kecekalan Yang Walad, 82, berasal dari Kuala Kurau, Parit Buntar sehingga terpilih menerima Anugerah Keluarga Ammar bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali) sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak Tahun 1448H/2026M.

Iklan
Iklan

Ibu kepada enam anak lelaki dan sembilan perempuan itu berkata, kehidupan sederhana sebagai pesawah tidak menghalangnya daripada memasang tekad untuk melihat semua anaknya berjaya dalam pelajaran dan kehidupan.

"Memang tekad di hati nak anak berjaya. Hari-hari ke sawah, saya minta doa pada ALLAH beri rezeki bagi anak-anak berjaya.

Iklan

"Niat saya itu saja," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Selasa.

Berangkat sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.

Iklan

Mengiringi baginda Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Norzita (lima dari kiri) menunjukkan anugerah diterima NGO tersebut bersama ahli jawatankuasa Pertubuhan Wanita Prihatin Perak sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak Tahun 1448H/2026M di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Selasa.

Sementara itu Yang berkata, membesarkan 15 anak bukan tugas mudah namun keyakinan diri, kesabaran dan doa menjadi pegangan utama sepanjang membesarkan mereka.

"Anak pergi sekolah saya doa. Memang tawakal kepada ALLAH. Minta doa bagi anak-anak supaya berjaya. Itu saja hari-hari.

"Dah habis Tingkatan Enam baru anak-anak masuk universiti seorang demi seorang," katanya yang menetap di Parit Haji Tahir, Parit Buntar.

Beliau yang merupakan ibu tunggal berkata, suaminya, Abdul Halim Abdul Kadir meninggal dunia pada 2010 selepas mengalami masalah kesihatan sejak 2000.

Katanya, ketika suaminya meninggal dunia, anak-anaknya hampir semuanya menamatkan pengajian di universiti sekali gus menjadi antara detik paling membanggakan dalam kehidupannya.

"Saya bukan orang berharta. Hidup memang sederhana saja. Buat sawah, besarkan anak dengan rezeki ALLAH. Anak terus besar dan alhamdulillah, mereka berjaya," katanya.

Yang kini dikurniakan 57 cucu selain sudah mempunyai beberapa orang cicit.

Mengulas penerimaan anugerah berkenaan, beliau mengakui amat terharu dan tidak menyangka diberikan pengiktirafan berkenaan oleh Sultan Nazrin.

"Terharu sangat-sangat. Syukur Tuhan panjangkan umur saya untuk menerima anugerah ini.

"Teringat macam dulu-dulu, bagaimana susah payah membesarkan anak-anak," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Wanita Prihatin Perak, Norzita Rabaai yang menerima Anugerah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), berkata pengiktirafan itu menjadi pembakar semangat untuk pihaknya meneruskan kerja kebajikan dan kesukarelawanan.

Menurutnya, pertubuhan yang ditubuhkan pada 15 September 2015 itu kini mempunyai kira-kira 50 ahli yang kesemuanya menjalankan kerja sukarela tanpa menerima gaji.

Antara usaha utama pertubuhan itu adalah membantu kanak-kanak autisme menerusi pembinaan tiga bilik multi-sensori di sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PKKI) di daerah Kinta Utara dan satu di Kinta Selatan.

"Bilik itu merupakan ruang terapi untuk kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran atau autisme menjalani terapi ketika berada di sekolah.

"Kami bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan sumbangan yang diberikan adalah berdasarkan keperluan serta syor pihak jabatan," katanya.

Norzita berkata, pihaknya berharap pengiktirafan itu dapat menarik lebih ramai masyarakat menyertai gerakan sukarelawan selain memperkukuhkan kerjasama antara NGO dan agensi kerajaan dalam membantu masyarakat.