KOTA BHARU - Seorang penyelia ladang cedera parah selepas diserang sekumpulan individu menggunakan parang, batang besi dan kayu dalam kejadian rusuhan bersenjata di sebuah rumah kongsi di Kampung RKT Kesedar Chalil, Gua Musang, semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kejadian berlaku pada 3.15 petang, selepas sekumpulan lelaki yang dipercayai wakil sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan terhadap kawasan tersebut hadir ke rumah kongsi itu bagi mendapatkan penjelasan mengenai permit masuk kawasan hutan simpan.
Iklan
Iklan
"Pertikaian tercetus apabila seorang lelaki didakwa dipukul oleh dua individu daripada kumpulan berkenaan. Seorang pekerja ladang yang cuba meleraikan pertikaian itu kemudiannya dipercayai diserang secara beramai-ramai menggunakan senjata seperti parang, batang besi dan kayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa, lelaki tempatan berusia 35 tahun itu mengalami beberapa kecederaan serius termasuk patah tulang lengan kiri, retak tulang kering kaki kiri, kecederaan pada tendon kaki kiri, lebam dan bengkak pada mata kiri serta pendarahan pada hidung.
Choon Foo berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
"Polis menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan menyalurkan maklumat berkaitan kejadian kepada pihak polis dengan tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Balai Polis Paloh menerusi talian 09-928 5090. - Bernama