KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu bagi menyiasat pentadbiran dan pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) bermula dari 2018 hingga kini.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu penting bagi memastikan kedudukan dan integriti institusi kebanggaan umat Islam itu terus dipertahankan secara telus dan adil.
Beliau menegaskan, usaha mempertahankan martabat TH di negara ini ibarat perjuangan umat Islam dalam mempertahankan Baitulmaqdis di peringkat global.
“Kita menganggap perjuangan mempertahankan martabat dan integriti Tabung Haji ini ibarat kita perlu berjuang mempertahankan Baitulmaqdis.
"Mungkin ada kesalahan teknikal yang boleh dibaiki, tetapi bukanlah satu serangan yang menggambarkan seolah-olah institusi ini terjerumus dalam skandal begitu besar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Wacana Intelektual Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji di sini pada Selasa.
Takiyuddin yang hadir bersama sembilan lagi Ahli Parlimen Pas turut membangkitkan isu percanggahan dapatan antara laporan RCI terdahulu dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebagai contoh, beliau memetik kes TH Plantation (THP), apabila pengerusinya pada 2021, Tan Sri Abu Talib Othman menerima surat daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Datuk Seri Azam Baki yang mengesahkan tiada sebarang kesalahan dikesan berhubung pembelian saham syarikat berkaitan dan kes dikategorikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).
Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, laporan RCI terdahulu mencadangkan audit forensik dijalankan terhadap 14 syarikat, termasuk THP dan TH Indonesia Plantation (THIP).
"Dalam prinsip perundangan, apabila ada dua keterangan bercanggah, keuntungan daripada keraguan sepatutnya diberikan kepada pihak yang tertuduh. Sepatutnya dapatan SPRM yang diguna pakai.
"Dapatan RCI itu sendiri perlu diperhalusi lagi. Sebab itu kita cadangkan RCI baharu ditubuhkan untuk menyiasat tempoh dari 2018 hingga kini, atau sekurang-kurangnya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Parlimen dipanggil bersidang untuk meneliti semula laporan berkenaan," katanya.
Beliau berkata, PN akan membawa usul persendirian serta membangkitkan isu berkenaan pada sesi perbahasan bajet di Parlimen.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan kerjasama politik antara Pas dan UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Takiyuddin mengesahkan proses perundingan antara PN dan Barisan Nasional (BN) telah bermula.
"Perundingan sudah bermula dan berada pada peringkat untuk menentukan kaedah serta pendekatan yang akan digunakan. Petanda setakat ini adalah sangat positif," katanya.