PETALING JAYA - Perarakan Pendakian Aqabah yang menempuh laluan berbukit hampir satu kilometer menghidupkan penghayatan terhadap perjuangan dalam Surah Al-Balad dalam kalangan peserta pada program Road to Malaysia #QuranHour sempena Festival Maulid Masjid Al-Muhtadin.
Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, perarakan dan pendakian itu membawa ibrah daripada kisah Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah, selain memberi peluang kepada peserta merasai sedikit kesungguhan Baginda menempuh perjalanan yang sukar.
Beliau yang juga Pentadabbur My #QuranTime berkata, peserta bangun awal Subuh dan menyertai perarakan bagi merasai sedikit kesungguhan Nabi Muhammad SAW dalam perjalanan hijrah.
“Kita melihat bagaimana kesungguhan, peluang bagi setiap individu untuk merasai kelumit sedikit daripada kesungguhan Nabi Muhammad SAW untuk bergerak 400 kilometer (km) daripada Makkah ke Madinah.
“Selain itu, kesungguhan dan kemeriahan itu kita dapat perhatikan melalui pakaian peserta dan sebagainya. Mereka memang seronok tetapi sebalik itu kita masukkan nilai Surah Al-Balad untuk menyatakan bahawa kepayahan manusia memang ada tetapi biar ia disambut dengan perjuangan sampai dapat ke syurga,” katanya.
Beliau berkata sedemikian selepas Program Road to Malaysia #QuranHour 2026 bersempena Festival Maulid Masjid Al-Muhtadin, Damansara Damai pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff dan Pengarah Program Festival Maulid, Mohd Noor Hashim.
Sebelum itu, Perarakan Pendakian Aqabah menjadi tarikan utama program Road to Malaysia #QuranHour disusuli Sesi Refleksi Pendakian Aqabah iaitu sesi tadabbur disampaikan Fazrul hasil kerjasama Masjid Al-Muhtadin dan WUIF.
Fazrul menambah, kepayahan yang dirasai ketika melakukan aktiviti pendakian kemudiannya dikaitkan dengan mesej Surah Al-Balad yang menggambarkan kehidupan manusia tidak terlepas daripada perjuangan dan kesukaran.
Menurutnya, surah Al-Balad menggambarkan kehidupan manusia tidak terlepas daripada perjuangan dan kesukaran, namun manusia tidak seharusnya menyerah kepada cabaran tersebut.
Beliau berkata, konsep Aqabah dalam Surah Al-Balad mengajar bahawa jalan menuju kebaikan bukan sentiasa mudah, sebaliknya memerlukan keberanian, pengorbanan dan tindakan.
Menurutnya, elemen Malaysia #QuranHour turut dimasukkan bagi mengingatkan masyarakat bahawa Rasulullah SAW merupakan pejuang kemerdekaan yang sebenar.
Beliau memaklumkan, Malaysia #QuranHour 2026 akan berlangsung pada 30 Ogos depan yang memasuki penganjuran tahun ke-12 mengangkat tema “Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera” menerusi tadabbur Surah Al-Muzzammil dan Surah Al-Balad.
Kongsi Fazrul, Surah Al-Balad dan Surah Al-Muzzammil saling melengkapi dalam membina kekuatan dalaman sebelum kekuatan itu diterjemahkan melalui tindakan yang memberi manfaat kepada orang lain.
Sementara itu, Nazir Masjid Al-Muhtadin, Abdul Nasir Hassan berkata, seramai 533 peserta daripada 14 kontinjen komuniti sekitar Damansara Damai menyertai perarakan menuju Masjid Al-Muhtadin sebelum meneruskan perjalanan dengan pengisian Road to Malaysia #QuranHour 2026: Refleksi Pendakian Aqabah.
Beliau menambah, kelainan program kali ini ialah aktiviti pendakian tidak hanya berakhir apabila peserta tiba di destinasi, sebaliknya turut disusuli sesi taddabur yang mengaitkan pengalaman mendaki dengan kisah dan pengajaran daripada Al-Quran.
“Pemilihan Surah Al-Balad sangat bertepatan kerana kebiasaannya aktiviti pendakian hanya melibatkan pendakian sebelum berakhir begitu sahaja.
Menurut beliau, program berkenaan turut memberi fokus kepada usaha memperkukuhkan ukhuwah dan memupuk semangat cinta kepada Rasulullah SAW dalam kalangan masyarakat.
Katanya, sambutan menggalakkan itu menunjukkan masyarakat menerima baik program yang menggabungkan aktiviti fizikal, syiar Islam dan penghayatan Al-Quran.
Beliau berkata, laluan berbukit yang hampir satu kilometer itu turut memberikan pengalaman tersendiri kepada peserta, termasuk kanak-kanak hingga golongan dewasa.
Dalam pada itu, Refleksi Pendakian Aqabah turut menyaksikan dua tokoh wanita, Faridah Hassan@Malek dan Norzayah Abdullah yang banyak mencurahkan khidmat dalam usaha dakwah di Masjid Al-Muhtadin menerima Khadijah Blanket sebagai tanda penghargaan.