IPOH - Pemimpin Islam dan gerakan yang membawa nama Islam digesa mengurangkan persengketaan mahupun berpolitik bagi membolehkan perhatian diberikan kepada usaha memperkukuh serta membawa kegemilangan terhadap ummah.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, tenaga dan gerakan pemimpin Islam wajar disalurkan untuk menyokong serta membantu usaha positif dalam bidang pendidikan Islam, ekonomi Islam dan kewangan Islam, industri halal, wakaf, dakwah digital serta pengukuhan institusi keluarga.
Menurut baginda, perkara itu penting ketika umat Islam berdepan cabaran perpecahan akibat perbezaan politik, mazhab, bangsa dan kepentingan, selain tarikan terhadap pengaruh, pangkat, jawatan, harta serta kemewahan dunia.
"Amatlah menggalakkan dan sewajarnya kita bersyukur kerana ketika pemimpin dan kabilah-kabilah politik memilih untuk bersaing dan bersengketa, turut terdapat individu dan kumpulan yang merintis usaha-usaha positif, menggerakkan dan mengusahakan kesedaran terhadap pendidikan Islam, ekonomi Islam, kewangan Islam, industri halal, wakaf, dakwah digital dan pengukuhan institusi keluarga," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1448H Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Selasa.
Berangkat sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.
Mengiringi baginda Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Sultan Nazrin turut mengingatkan bahawa kesatuan ummah kini menghadapi cabaran besar apabila semangat persaudaraan semakin terpinggir akibat perbezaan serta kepentingan yang mengatasi nilai ukhuwah.
Titah baginda, jati diri Muslim dan identiti ummah perlu diperkukuh bagi memastikan umat Islam mampu mengharungi perubahan zaman tanpa kehilangan arah serta pedoman.
Menurut baginda, jati diri Muslim bukan sekadar berkaitan pakaian, slogan atau penampilan sebaliknya lahir daripada prinsip, iman, ilmu dan akhlak yang diterjemahkan dalam kehidupan.
"Jati diri individu membentuk kekuatan ummah kerana itu Islam menekankan proses pembentukan jati diri yang berperanan penting sebagai benteng penghalang kepada pengaruh negatif.
"Jati diri melahirkan Muslim yang beriman, berakhlak, berkeperibadian. Jati diri menjadi asas untuk membangunkan ummah yang yakin lagi bermaruah, ummah yang bertenaga menyalakan obor kemuliaan, ketinggian dan kesempurnaan Islam," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, usaha memperkukuh jati diri perlu bermula dengan akidah yang teguh, dibentuk dengan ilmu, dihiasi akhlak dan dibuktikan melalui amal.
Baginda turut menyeru setiap masyarakat dan keluarga mengambil tanggungjawab masing-masing secara berkesan supaya dapat melahirkan umat yang kukuh jati diri, mulia akhlak, luas ilmu serta teguh pendirian.
Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak pada tahun ini membawa tema ‘Membina Jati Diri Muslim – Memperkukuh Identiti Ummah’.