BAYAN LEPAS – Seorang guru Kelas Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), Mohamad Hijazi Zamri, 26 dilaporkan hilang selepas keluar dari kediamannya di Sungai Ara di sini pada 22 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kehilangan lelaki terbabit yang dibuat bapanya pada 23 Ogos lalu.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati Mohamad Hijazi meminta izin daripada ibunya untuk ke Surau Al-Muttaqin, Lilitan Sungai Ara dengan menunggang motosikal Yamaha LC135 berwarna biru bernombor pendaftaran PQG275.
“Bagaimanapun, lelaki berkenaan tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi ahli keluarganya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, Mohamad Hijazi mempunyai ketinggian 155 sentimeter, berat 54 kilogram, berkulit sawo matang serta berambut hitam pendek.
“Ketika keluar dari rumah, dia memakai kemeja-T lengan panjang berwarna oren dan hitam serta seluar panjang berwarna hitam.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan keberadaan lelaki berkenaan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di talian 04-866 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Orang ramai juga boleh menghubungi keluarganya di talian 019-555 9982 (Zamri) atau 019-496 0552 (Azizah).
Sementara itu, berdasarkan maklumat yang dikongsikan keluarga, Mohamad Hijazi kali terakhir dilihat pada 22 Ogos sebelum keluar untuk menunaikan solat Isyak di surau berkenaan.
Mohamad Hijazi merupakan seorang qari dan hafiz al-Quran yang pernah terpilih mewakili Pulau Pinang dalam kejohanan peringkat kebangsaan.
Dia juga pernah menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) pada 2019.
Menurut maklumat yang dikongsikan, bacaan dan hafazan Muhammad Hijazi juga pernah dirakam serta dimuat naik menerusi saluran ArRahman TV di YouTube.