Polis nafi wanita diculik di Karak

Iklan
Polis menasihati semua pihak agar tidak bertindak mengikut perasan dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang didapati melanggar undang-undang. Gambar hiasan

BENTONG – Polis menafikan dakwaan berlaku kejadian penculikan seorang wanita di hadapan sebuah kedai makan di kawasan Karak di sini seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, semakan dan siasatan awal di premis berkenaan mendapati dakwaan tersebut palsu dan tidak berlaku seperti yang didakwa dalam hantaran tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemilik premis terbabit turut membuat laporan polis pada Isnin berhubung penularan maklumat palsu itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Iklan

Zaiham berkata, pihaknya memandang serius penyebaran maklumat palsu yang boleh menimbulkan kegusaran serta mengganggu ketenteraman awam.

“Polis akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat unsur kesalahan di bawah undang-undang,” katanya.

Iklan

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana ia boleh menimbulkan kegusaran dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya membuat semakan dan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum menyebarkan sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah.

“Sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah hendaklah disalurkan terus kepada pihak polis bagi membolehkan semakan dan tindakan sewajarnya diambil,” katanya.

Dalam pada itu, Zaiham menyeru orang ramai supaya kekal tenang, tidak panik dan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan kebenarannya.