ALOR SETAR - Sebanyak 3,965 hektar kawasan hutan paya laut di seluruh negara berjaya dipulihkan menerusi penanaman lebih 9.3 juta pokok bakau dan spesies yang sesuai sehingga tahun 2025.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pencapaian itu hasil peruntukan sebanyak RM71.3 juta menerusi Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-Spesies yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara.
Menurutnya, peruntukan berkenaan digunakan bagi melaksanakan aktiviti penanaman, penyelenggaraan, penyelidikan, pemantauan serta meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan ekosistem hutan paya laut.
“Usaha pemuliharaan ini akan diteruskan bagi memastikan ekosistem hutan paya laut serta kawasan pesisiran pantai negara terus terpelihara,” katanya dalam ucapan aluan yang dibacakan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Datuk Mohd Radhi Chu Abdullah.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang disempurnakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin di sini pada malam Isnin.
Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali.
Arthur berkata, bagi meneruskan agenda pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya laut, kerajaan memperuntukkan RM2 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) bagi tahun 2026.
Menurutnya, peruntukan itu melibatkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya laut serta kawasan pesisiran pantai di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan usaha pemuliharaan dapat dilaksanakan secara berterusan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 12 NGO dan komuniti setempat memainkan peranan dalam menyokong usaha kerajaan menerusi aktiviti pendidikan alam sekitar, kesedaran awam dan pemuliharaan ekosistem.
Pada majlis sama, Raja Muda Kedah berkenan menyampaikan sijil penghargaan kepada empat NGO dan komuniti yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memelihara ekosistem hutan paya laut.
Penerima penghargaan itu ialah Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Kampung Taman Nilam, Kelab Pendidikan dan Kebajikan Puncak, Lembah Bujang, serta Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING).