KUALA LUMPUR – Masalah aliran tunai, kelewatan urusan dokumentasi, pelepasan bayaran daripada pihak ketiga, masalah teknikal berkaitan transaksi kewangan atau urusan pentadbiran firma antara menjadi alasan peguam didapati terlibat dalam kes pecah amanah.
Sejak 2023 hingga Julai lalu, sebanyak 181 kes direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan kerugian melebihi RM192 juta.
Bagaimanapun, setiap alasan yang diberikan akan dinilai polis berdasarkan fakta dan bukti siasatan.
Sekiranya terdapat unsur penyalahgunaan dana pelanggan atau niat tidak jujur, siasatan akan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang.
Berdasarkan siasatan, wang milik klien yang diambil dipercayai digunakan untuk tujuan peribadi, dijadikan modal pusingan atau membeli aset untuk diri sendiri.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, majoriti kes membabitkan urusan hartanah seperti pembelian rumah, tanah dan pemindahan hak milik membabitkan wang amanah pelanggan disimpan dalam akaun klien peguam.
Menurutnya, terdapat juga kes membabitkan pengurusan harta pusaka, transaksi komersial, urusan pinjaman bank, pembayaran hasil jualan hartanah serta dana penyelesaian tuntutan yang sepatutnya diserahkan kepada pelanggan atau pihak berkepentingan.
“Modus operandi yang lazimnya dikenal pasti ialah kegagalan menyerahkan wang amanah pelanggan dalam tempoh sepatutnya, penggunaan dana pelanggan bagi tujuan lain tanpa kebenaran serta pemindahan wang daripada akaun klien kepada akaun lain yang tidak berkaitan dengan transaksi asal.
“Setakat ini, kebanyakan kes direkodkan membabitkan tindakan pihak yang menyalahgunakan kedudukan dan amanah yang diberikan.
Beliau berkata, tidak dinafikan terdapat kes sedemikian turut membabitkan ugutan jenayah terhadap pelanggan.
Namun, jelas Rusdi, kebiasaannya peguam terlibat akan cuba mengelak daripada berjumpa pelanggan, enggan menjawab panggilan telefon selain memberikan cek tendang.
Katanya, pelbagai alasan diberikan peguam terbabit antaranya wang belum diterima, dokumen tidak lengkap selain memberikan pelbagai janji sehingga akhirnya firma guaman berkenaan ditutup.
“Dalam kes ini, pelanggan akhirnya membuat keputusan untuk membuat laporan polis.
“Kita tidak menolak kemungkinan ada antara mereka melarikan diri ke luar negara apabila dikesan polis.
“Siasatan terhadap sesiapa pun tetap sama walaupun mereka merupakan peguam dan polis bekerjasama dengan Badan Peguam Malaysia,” ujarnya.
Rusdi berkata, JSJK menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap setiap laporan yang diterima bagi mengenal pasti unsur jenayah serta mengesan aliran kewangan terlibat.
“Selain siasatan jenayah, kes berkaitan salah laku profesional juga boleh dirujuk kepada Badan Peguam Malaysia untuk tindakan lanjut di bawah bidang kuasa dan tatacara profesional yang berkenaan.
“Kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan dan badan profesional adalah penting bagi memastikan tindakan bersesuaian dapat diambil terhadap pihak yang terlibat,” ujarnya.
34 individu dituduh di mahkamah
Menurut Rusdi, berdasarkan statistik sejak 2023 hingga Julai tahun ini, seramai 43 individu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah jenayah.
“Daripada jumlah itu, seramai 34 individu dituduh di mahkamah.
“Trend ini menunjukkan bahawa walaupun bilangan kes tidak terlalu tinggi berbanding kategori jenayah komersial lain, impak kewangan yang ditanggung mangsa sangat besar kerana kebanyakan kes membabitkan wang amanah pelanggan dalam urusan hartanah, pusaka, transaksi komersial dan dana penyelesaian yang diuruskan firma guaman.
“Oleh itu, JSJK akan terus memperkukuh siasatan dan bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan individu yang menyalahgunakan kedudukan dan amanah yang diberikan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Tegas Rusdi, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan khidmat peguam berdaftar dan mempunyai rekod profesional baik.
Tambah beliau, pelanggan juga perlu sentiasa memantau perkembangan transaksi, mendapatkan resit dan dokumen berkaitan bagi setiap pembayaran dibuat serta menyimpan rekod komunikasi dan transaksi dengan pihak peguam.
“Sekiranya terdapat kelewatan yang tidak munasabah atau urusan mencurigakan, pelanggan disarankan mendapatkan penjelasan segera dan membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat unsur penyelewengan atau pecah amanah,” katanya.
Katanya, JSJK memandang serius kes jenayah pecah amanah oleh peguam kerana ia membabitkan penyalahgunaan amanah yang diberikan pelanggan serta boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap profesion guaman di negara ini.