TEMAN Merak Jalanan dengan bangga menunjukkan bekal yang disediakan oleh orang rumahnya. Setiap hari, dia menikmati bekal itu dengan penuh selera dan rasa syukur kerana isterinya tidak pernah merungut walaupun terpaksa bangun sebelum subuh kerana perlu siapkan anak-anak sebelum bergegas ke tempat kerja
Dalam hati, Merak Jalanan memuji pengorbanan isterinya yang tetap meluangkan masa memasak.
Baru-baru ini pula, kecoh di media sosial mengenai catatan seorang lelaki yang berharap bakal isterinya nanti menyediakan bekal seperti dilakukan ibunya.
Yang mencuri perhatian Merak Jalanan bukanlah permintaan itu, tetapi menu yang disebutnya ‘cekodok pun saya okay’.
Namun, juadah yang cukup simple itu tiba-tiba menjadi bahan perdebatan selepas seorang wanita membalas dengan sindiran tajam.
Tidak sangka pula sekadar minta bekal cekodok boleh mengundang perang komen malah respons tersebut akhirnya menerima kecaman beramai-ramai.
Yang sebenarnya mengundang persoalan bukanlah soal cekodok itu, tetapi bagaimana satu permintaan kecil dalam alam rumah tangga boleh terus dikaitkan dengan isu ‘lelaki manja’, tidak berdikari, ‘anak emak’ dan belum matang.
Apa yang Merak Jalanan perhatikan, ramai isteri bekerjaya tetap mampu meluangkan masa menyediakan bekal buat suami dan anak-anak. Kesibukan bekerja bukanlah penghalang untuk mengetepikan rutin itu.
Yang peliknya, benda sekecil bekal pun boleh dijadikan ukuran kematangan seorang lelaki. Baru minta bekal cekodok, terus dikaitkan dengan persoalan layak atau tidak untuk berkahwin. Mungkin generasi hari ini terlalu mudah menjadikan hal remeh sebagai kayu ukur dalam menilai seseorang.