SHAH ALAM - Kerajaan didesak agar mengambil tindakan lebih tegas dan konsisten dalam mengawal sempadan negara serta menguatkuasakan undang-undang imigresen.
Langkah berkenaan penting bagi menangani isu penempatan pelarian dan Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang kini semakin membimbangkan.
Penganalisis Pertahanan, Zaki Salleh menegaskan, kewujudan penempatan tertumpu yang dilihat menyerupai 'koloni' kini mula mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat tempatan.
Menurut beliau, walaupun kehadiran pelarian seperti etnik Rohingya pada peringkat awal disambut atas dasar kemanusiaan, tempoh keberadaan yang panjang serta jumlah yang melonjak kini mengubahnya menjadi isu nasional yang lebih kompleks.
Zaki menjelaskan, kerajaan perlu memberikan penjelasan telus mengenai status sebenar pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat.
Beliau menekankan bahawa pemegang kad UNHCR tidak seharusnya dianggap mempunyai hak yang sama seperti warganegara Malaysia dari segi pekerjaan dan akses kepada aktiviti ekonomi.
Kemarahan awam turut tercetus berikutan pendedahan di media sosial mengenai warga asing tanpa dokumen yang bebas bekerja, berniaga, mahupun memandu kenderaan dan menunggang motosikal tanpa lesen.
Keadaan ini tambah memburuk apabila pelarian didakwa turut menikmati barangan keperluan asas pada harga subsidi rakyat seperti beras, minyak masak dan gas memasak.
Mengulas mengenai aspek keselamatan sempadan, beliau menggesa kawalan menerusi laluan darat dan laut diperketat bagi membendung aktiviti sindiket penyeludupan manusia yang mengambil kesempatan.
Tindakan undang-undang yang amat tegas juga perlu dikenakan terhadap rakyat tempatan yang bertindak membantu, membawa masuk atau melindungi PATI.
"Masalah kemasukan secara haram ini tidak mungkin berlaku tanpa kewujudan rangkaian tempatan yang menyediakan kemudahan pengangkutan, tempat tinggal atau peluang pekerjaan," jelasnya.
Selain isu pencerobohan sempadan, Zaki menyeru kerajaan untuk memperjelaskan prosedur undang-undang berkaitan isu perkahwinan antara pemegang dokumen pelarian atau individu tanpa dokumen dengan rakyat tempatan bagi mengelakkan manipulasi sistem pendaftaran.
Penguatkuasaan terhadap majikan yang menggaji pekerja tanpa permit juga wajar dipertingkat bagi menangani persepsi bahawa pendatang asing mengambil peluang pekerjaan warganegara.
Beliau membandingkan ketegasan pentadbiran terdahulu yang berjaya menggembleng kekuatan keselamatan bagi mengekang ancaman komunis dan subversif demi ketenteraman negara.
"Dalam konteks hari ini, pendekatan yang sama tidak semestinya bermaksud kekerasan, tetapi memerlukan dasar yang jelas, penguatkuasaan konsisten dan kawalan sempadan yang berkesan," katanya.
Beliau turut menegaskan, penyelesaian jangka panjang memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, agensi keselamatan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat.
"Rakyat tidak mahu tindakan berasaskan emosi atau kebencian, tetapi mahukan ketegasan kerajaan dalam memastikan keselamatan serta kepentingan warganegara sentiasa menjadi keutamaan tertinggi," katanya.