PENGENDALI Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) mengunjurkan projek berkenaan mencapai titik pulang modal aliran tunai pada tahun kewangan 2030 (FY2030), manakala potensi keuntungan dijangka bermula sekitar FY2032.
Anak syarikat West Coast Expressway Holdings Berhad (WCEHB) itu bagaimanapun menegaskan trajektori kewangan sebenar lebuh raya berkenaan hanya dapat diukur dengan lebih tepat selepas keseluruhan jajaran siap sepenuhnya pada suku pertama 2027 (Q1 2027).
Ketua Pegawai Eksekutif WCE, Lyndon Alfred Felix berkata, tempoh tiga tahun selepas penyiapan penuh bagi mencapai pulang modal aliran tunai dan lima tahun bagi keuntungan adalah anggaran indikatif, bukannya angka muktamad.
Menurutnya, pembukaan penuh keseluruhan rangkaian pada Q1 2027 akan membolehkan syarikat mengumpul data Purata Trafik Harian (ADT) serta mengenal pasti corak perjalanan sebenar pengguna.
“Apabila keseluruhan jajaran siap dan beroperasi sepenuhnya, barulah kami mempunyai asas menyeluruh untuk menilai trajektori kewangan lebuh raya ini dengan lebih tepat,” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan unjuran berkenaan, WCE dijangka mencapai titik pulang modal aliran tunai kira-kira tiga tahun selepas lebuh raya itu siap beroperasi sepenuhnya, iaitu pada FY2030.
Potensi keuntungan pula dijangka dicapai kira-kira lima tahun selepas penyiapan penuh, iaitu pada FY2032.
Lyndon menambah, penilaian prestasi jangka panjang WCE perlu dibuat berdasarkan data operasi sebenar apabila lebuh raya itu berfungsi sebagai rangkaian lengkap, bukannya ketika jajaran masih dibuka secara berperingkat.