SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengisytiharkan 1 September ini iaitu pada Selasa depan sebagai cuti peristiwa khas sempena kejayaan kontinjen negeri itu pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengumuman itu dibuat sebagai tanda penghargaan kepada atlet, pegawai, sukarelawan dan ibu bapa yang banyak membantu sepanjang temasya berkenaan.
"Saya berbesar hati mengumumkan kerajaan negeri Selangor mengisytiharkan cuti peristiwa khas Sukma 2026 pada 1 September 2026 iaitu pada Selasa depan," katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan SUKMA Selangor 2026 di Aneka Walk, di sini pada Isnin.
Selangor muncul juara keseluruhan SUKMA 2026 selepas mengungguli kutipan pingat dengan 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa dengan memperoleh keseluruhan 245 pingat.
Pencapaian itu menyaksikan Gergasi Merah melepasi sasaran awal 80 pingat emas yang ditetapkan sebelum temasya bermula.
Selangor kali terakhir muncul juara keseluruhan temasya sukan terbesar negara ialah pada SUKMA Sarawak 2016 dengan meriah 59 emas, 73 perak dan 63 gangsa.
Sepanjang berlangsung secara rasmi dari 15 Ogos hingga Isnin, SUKMA 2026 mempertandingkan 37 jenis sukan membabitkan 368 acara di sembilan daerah seluruh Selangor.
Mengulas lanjut, Amirudin turut mengingatkan mereka yang bekerja di Putrajaya supaya meneruskan tugas seperti biasa susulan cuti peristiwa berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menyeru atlet Selangor supaya terus memperkukuh usaha dan mengejar impian untuk mengharumkan nama negeri serta negara.
"Teruskan perjuangan anda, kukuhkanlah usaha untuk mencapai impian anda.
"Saya mewakili negeri ini dan anda mempunyai peluang mewakili tanah air Malaysia yang kita cintai kerana anda semua merupakan harapan pada masa depan," ujar beliau.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap keberangkatan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang disifatkan sebagai sejarah penting buat warga Selangor dan atlet seluruh negara.
Amirudin kemudian mengajak semua pihak berdoa agar kejayaan dan kecemerlangan atlet Selangor dapat diteruskan pada masa akan datang.