Sambut ulang tahun Menara Berkembar Petronas ke-27 serentak Hari Kebangsaan 2026

Iklan
Pengunjung boleh menyaksikan persembahan tarian tradisional yang meraikan kekayaan warisan budaya Malaysia di tingkat 83 Menara Berkembar Petronas.

KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Kebangsaan 2026 menjadi lebih bermakna apabila Menara Berkembar Petronas (KLCC) menyambut ulang tahunnya ke-27 sebagai mercu tanda kebanggaan negara, lambang kemajuan, aspirasi dan identiti Malaysia di persada dunia.

Sempena detik bersejarah tersebut, orang ramai dijemput memeriahkan sambutan istimewa di KLCC dari 29 hingga 31 Ogos ini di dua destinasi ikonik negara iaitu Petrosains 'The Discovery Centre' dan Petronas Twin Towers Sky Xperience.

Iklan
Iklan

Menerusi tema 'Rasa Ingin Tahu Menyatukan Kita', Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn Bhd, Ezarisma Azni Mohamad berkata, pengunjung bakal dihidangkan dengan pelbagai aktiviti menarik yang menggabungkan warisan budaya, pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), semangat patriotisme serta promosi eksklusif.

"Sambutan tahun ini amat bermakna kerana ulang tahun ke-27 Menara Berkembar Petronas diraikan serentak dengan Hari Kebangsaan Malaysia.

Iklan

"Hampir tiga dekad, menara ini berdiri megah sebagai simbol cita-cita, kejayaan dan semangat rakyat Malaysia sama ada bersama keluarga, rakan-rakan atau tetamu dari luar negara," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Di Petrosains, pengunjung boleh menyaksikan deklamasi sajak patriotik dan pertandingan busana bertemakan Merdeka dengan tawaran hadiah menarik termasuk persembahan bermain alat muzik tradisional mewakili kepelbagaian budaya masyarakat di negara ini.

Iklan

Kanak-kanak dan seisi keluarga berpeluang menyertai aktiviti mewarna serta seni kreatif berinspirasikan Hari Kebangsaan, di samping meneroka kreativiti menerusi Sudut Kraf Merdeka.

Pengunjung juga boleh menyertai pelbagai aktiviti STEM bertemakan Merdeka seperti 'Colours of Malaysia Animation Station', Jalur Gemilang Paper Heli serta Thinking Spot! Edu-to-Cart bagi menggalakkan penghargaan terhadap alam sekitar dan komuniti setempat.

Menambahkan lagi keunikan pengalaman di Petrosains, pengunjung berpeluang mengimbau kembali permainan tradisional Malaysia melalui perspektif STEM antaranya congkak, batu seremban dan dam aji.

Selain itu, aktiviti Bengkel Merdeka Pixel Art, Bengkel LED Flashlight, Bengkel Merdeka Shrink & Clink serta Persembahan Roleplay Khas Merdeka yang menawarkan pengalaman pembelajaran interaktif dalam suasana penuh semangat patriotik.

Kanak-kanak berpeluang menyertai aktiviti mewarna dan seni kreatif berinspirasikan Hari Kebangsaan 2026.

Kemeriahan sambutan Merdeka bukan hanya di Kuala Lumpur, malah turut dirasai di Kuantan, Pahang; Johor Bahru, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah menerusi aktiviti di pusat satelit, Petrosains PlaySmart.

Pengunjung boleh menikmati persembahan Sains dan RoboBud, bengkel interaktif serta aktiviti pembelajaran menyeronokkan untuk seluruh keluarga.

Di Petronas Twin Towers Sky Xperience pula, orang ramai boleh meneruskan sambutan bulan kebangsaan dengan menyertai aktiviti lukisan wajah bertemakan Jalur Gemilang dan Menara Berkembar Petronas, selain 3 Towers Photo Competition.

Pertandingan itu memberi peluang kepada peserta untuk merakam panorama menakjubkan ibu kota Kuala Lumpur dari Sky Deck di Aras 86.

Peserta perlu menampilkan sudut pandang unik dengan merakam tiga mercu tanda kebanggaan negara iaitu Menara Berkembar Petronas, Menara Merdeka Maybank 118 dan Menara Kuala Lumpur dalam satu bingkai.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan serta ulang tahun ke-27 Menara Berkembar Petronas, pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan tarian tradisional yang meraikan kekayaan warisan budaya Malaysia.

Bagi melengkapkan pengalaman sambutan Merdeka, pengunjung boleh menikmati pelbagai tawaran menarik di XPLORASI-Petrosains Gift Shop dan Sky Shop, termasuk diskaun sehingga 40 peratus serta promosi Beli Satu Percuma Satu untuk barangan terpilih.

Menambahkan lagi nilai kepada pengalaman tersebut, pakej Petronas Twin Towers Sky Experience x Petrosains Double Deal menawarkan peluang menerokai dua destinasi ikonik dalam satu kunjungan dengan harga promosi pengenalan bermula dari RM29.70 seorang.