MATTA Fair September tawar lebih 2,000 gerai, promosi penerbangan

Iklan
Nigel (empat dari kiri) dan Dersenish (empat dari kanan) pada Majlis Pengumuman Rakan Penerbangan Rasmi dan Penaja Premier MATTA Fair September 2026 di MITEC pada Isnin. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

LEBIH 2,000 gerai daripada 306 organisasi akan menyertai MATTA Fair September 2026 yang bakal berlangsung selama tiga hari di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, bermula 4 hingga 6 September ini.

Penganjuran edisi ke-59 National MATTA Fair itu turut menyaksikan Malaysia Aviation Group (MAG) kembali sebagai rakan rasmi syarikat penerbangan dan penaja utama, dengan menawarkan pelbagai promosi serta pakej perjalanan kepada pengunjung.

Iklan
Iklan

MAG menerusi MAG Arena akan memenuhi ruang seluas lebih 46,000 kaki persegi dengan 60 gerai mengetengahkan tawaran daripada syarikat penerbangan Malaysia Airlines, Firefly dan Amal, selain produk gaya hidup serta perjalanan menerusi Enrich, Journify dan MHholidays.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong berkata, kerjasama berterusan dengan MAG membuka lebih banyak peluang kepada pengunjung untuk meneroka pelbagai destinasi dunia.

Iklan

"MATTA Fair sentiasa berusaha menjadikan perjalanan boleh diakses oleh semua dan tahun ini bersama MAG, kami berbangga untuk membuka lebih banyak destinasi pelancongan.

"Ketika Malaysia terus menyerlah sebagai destinasi pilihan sempena Visit Malaysia 2026, kita diingatkan bahawa pelancongan bukan sekadar industri, tetapi harapan, rasa ingin tahu dan hubungan," katanya pada sidang akhbar Majlis Pengumuman Rakan Penerbangan Rasmi dan Penaja Premier MATTA Fair September 2026 di MITEC, pada Isnin.

Iklan

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, pengunjung MAG Arena berpeluang mendapatkan tawaran tambang istimewa bagi rangkaian penerbangan domestik dan antarabangsa Malaysia Airlines serta Firefly.

Antara destinasi yang ditawarkan termasuk Bangkok, Singapura, Jakarta, Bali dan Hanoi, selain destinasi jarak jauh seperti London, Melbourne, Sydney, Tokyo dan Auckland.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial Perniagaan Syarikat Penerbangan MAG, Dersenish Aresandiran menjelaskan, kerjasama dengan MATTA mencerminkan aspirasi bersama untuk menjadikan perjalanan lebih mudah diakses selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk pelancongan utama.

"Bagi menyokong Visit Malaysia 2026, kami teruja untuk membawakan rangkaian tawaran perjalanan yang dipertingkatkan pada edisi kali ini, sekali gus memberi lebih banyak peluang kepada pengunjung meneroka Malaysia dan destinasi antarabangsa.

"MAG kekal komited menyokong matlamat pelancongan negara sambil menyediakan perjalanan lancar, diperkaya dengan layanan hospitaliti Malaysia," ujarnya.

Beliau memaklumkan, pengunjung juga berpeluang menerima barangan eksklusif dengan setiap tempahan penerbangan serta menyertai peraduan dengan perbelanjaan minimum RM100 untuk merebut tiket penerbangan pergi balik kelas perniagaan Malaysia Airlines ke destinasi seperti Paris dan Tokyo.

Selain itu, pengunjung turut berpeluang meyertai sesi bertemu dan beramah mesra bersama legenda Manchester United serta ikon sukan antarabangsa.

Dalam pada itu, ahli Enrich boleh menikmati akses awal kepada tambang promosi menerusi Enrich Priority Sale pada 1 dan 2 September.

MAG turut menawarkan pakej penerbangan dan hotel menerusi MHholidays, tawaran perjalanan dan gaya hidup melalui Journify serta penjimatan bagi pemilihan tempat duduk dan bagasi prabayar.