SPM buka ruang dalami ilmu Islam

Iklan
Sambutan orang ramai yang mendaftar untuk mengikuti program SPM di Masjid Sultan Idris Shah II pada tahun ini sangat menggalakkan.

Sambutan orang ramai yang mendaftar untuk mengikuti program SPM di Masjid Sultan Idris Shah II pada tahun ini sangat menggalakkan.

IPOH - Program Sijil Pengajian Masjid (SPM) bukan sekadar menawarkan sijil pengajian, tetapi ia menjadi platform kepada masyarakat untuk menambah ilmu pengetahuan dan penghayatan agama Islam sepanjang hayat.

Iklan
Iklan

Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abd Farid Salleh berkata, program pengajian yang diperkenalkan sejak 2014 itu mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan masyarakat untuk menambah pengetahuan.

Menurutnya, SPM menawarkan enam subjek teras iaitu Akidah, Fekah, Tasawuf, Tafsir, Hadis dan Sirah yang disusun secara sistematik menerusi gabungan ilmu menggunakan kitab Turath dan isu kontemporari dengan tempoh pengajian selama 24 minggu.

Iklan

“Program ini memenuhi keperluan muslimin dan muslimat yang ingin menambah ilmu pengetahuan serta penghayatan agama dari aspek teori dan amali. “Pada masa sama, kita mahu melahirkan masyarakat berilmu kerana ilmu menjadi asas kepada kesejahteraan dunia dan akhirat, selain membina masyarakat serta tamadun yang berteraskan budaya ilmu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Abd Farid berkata, program itu terbuka kepada masyarakat berusia 18 tahun ke atas malah mendapat penyertaan memberangsangkan dalam kalangan golongan pesara yang mempunyai lebih banyak masa untuk mengikuti pengajian.

Iklan

Katanya, peserta perlu mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus kehadiran untuk melayakkan diri menerima sijil, manakala peserta yang menduduki peperiksaan akan menerima sijil mengikut pencapaian seperti Mumtaz (cemerlang), Jayyid Jiddan (sangat baik) dan Jayyid (baik).

“Setakat ini terdapat lebih 250 peserta bagi empat tahap pengajian termasuk Sijil Lanjutan Pengajian Masjid (SLPM), manakala penyertaan datang dari seluruh Perak termasuk Gerik, Teluk Intan, Kerian dan Kuala Kangsar.

“Menariknya, pernah ada peserta dari Pulau Pinang sanggup datang setiap minggu dan ada yang menyewa hotel semata-mata mahu mengikuti pengajian,” katanya.

Menurutnya, sijil Syahadah ad-Dirasah ad-Diniyyah yang dianugerahkan turut diiktiraf Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) malah ada pelajar yang mengikuti program ini menerima tauliah mengajar daripada Jabatan Mufti Negeri Perak.

Abd Farid berharap SPM dapat terus mengimarahkan masjid menerusi budaya ilmu selain menjadi contoh kepada masjid lain dalam menyediakan pendidikan secara tersusun kepada masyarakat.

Usaha dilaksanakan Masjid Sultan Idris Shah II atau Masjid Negeri Perak itu dilihat selari dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi Flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat.