KANGAR –"RM10 anda mungkin kecil, tapi sangat besar nilainya untuk pendidikan seorang anak yatim dan asnaf."
Demikian luahan pihak Madrasah Tahfiz Muqarrabin di sini yang berdepan kekangan dana bagi meneruskan operasi harian mereka.
Pengetua Madrasah Tahfiz Muqarrabin, Muhammad Amin Arrazi Fakhruddin Arrazi berkata, pihaknya memerlukan dana untuk menampung kos utiliti seperti elektrik, air dan internet.
Menurut beliau, tanpa sokongan masyarakat, sukar untuk mereka teruskan usaha mendidik anak-anak tersebut menjadi generasi al-Quran.
Ujarnya, jumlah tersebut mungkin nampak kecil, tapi bagi mereka ia penentu sama ada anak-anak ini dapat belajar dalam suasana yang selesa atau tidak.
Muhammad Amin memberitahu, pelajar di madrasah itu terdiri daripada anak-anak yatim dan asnaf yang bergantung sepenuhnya kepada dana sumbangan orang ramai.
Jelasnya lagi, masyarakat boleh bersama-sama menyumbang melalui infaq tunai, tidak kira jumlah, kerana sumbangan kecil jika digerakkan secara berjemaah, mampu memberi impak besar.
"Setiap sen yang disumbangkan, kami doakan menjadi pahala berpanjangan dan diberi ganjaran berlipat kali ganda oleh ALLAH SWT," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 559012337130 atau boleh hubungi nombor 011-72538299.