SHAH ALAM - Komuniti kuil bersetuju memindahkan struktur rumah ibadat terbabit ke tapak Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang ditetapkan bagi membolehkan pembangunan persimpangan Kuang diteruskan.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (LIMAS), Papparaidu Veraman berkata, persefahaman itu dicapai menerusi rundingan antara komuniti kuil, pihak Sime Darby, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Mohd Rafiq Mohd Abdullah, Pejabat Exco dan agensi kerajaan berkaitan.
Menurutnya, tapak baharu berkeluasan 0.72 hektar disediakan bagi menempatkan rumah ibadat terlibat, selain kemudahan sokongan termasuk platform, pagar, laluan masuk sementara dan kemudahan asas.
"Isu ini bukan semata-mata berkaitan keperluan melebarkan jalan raya, tetapi turut melibatkan kepentingan beberapa rumah ibadat yang berada di kawasan berkenaan.
"Oleh itu, penyelesaiannya memerlukan pendekatan matang, terbuka serta mengambil kira kepentingan semua pihak," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, persetujuan itu bukan hanya secara lisan, sebaliknya wakil persatuan kuil turut menandatangani aku janji berhubung proses pengosongan dan pemindahan struktur ke tapak baharu.
Katanya, bagi salah satu persatuan kuil, surat aku janji bertarikh 5 Mac lalu turut memperincikan kerja pemindahan barangan berharga, perobohan struktur sedia ada dan pembersihan tapak.
"Penyelesaian ini membuktikan apabila semua pihak bersedia duduk semeja, mendengar pandangan masing-masing serta mengutamakan kepentingan bersama, isu kompleks juga mampu diselesaikan melalui jalan yang baik dan harmoni.
"Apabila terdapat keperluan pembangunan seperti pelebaran jalan, kita mahu pembangunan dapat diteruskan, namun pada masa sama, kepentingan rumah ibadat dan komuniti setempat terus dihormati," jelas beliau.
Papparaidu berkata, kes Kuang boleh dijadikan contoh apabila pembangunan dan kepentingan komuniti tidak semestinya perlu dilihat sebagai dua perkara bertentangan.
"Kerajaan negeri akan terus menggunakan pendekatan dialog, rundingan dan persefahaman dalam menangani isu rumah ibadat bagi memastikan tiada komuniti dipinggirkan.
"Persefahaman yang dicapai ini bukanlah titik akhir, sebaliknya satu langkah penting ke arah menyelesaikan isu berkaitan rumah ibadat di Selangor secara lebih tersusun, adil dan berhemah," tambah beliau.