PEMAIN Sensasi Malayan Tigress Bawah 17 tahun (B-17), Lim You muncul penjaring terbanyak Piala Srikandi Merdeka 2026 selepas mengumpul lapan gol sepanjang kejohanan.
Pemain berdarah warisan berusia 14 tahun itu mengatasi penyerang Thailand, Kawinthida Kikuntod yang merekodkan lima gol.
Lim You mencuri perhatian selepas meledak tujuh gol ketika Malaysia membelasah Arab Saudi 9-0, dengan kesemua jaringannya hadir menerusi kaki kiri.
Pencapaian itu turut mencatat sejarah tersendiri kerana hanya beberapa pemain wanita dilaporkan pernah menjaringkan tujuh gol dalam satu perlawanan rasmi, antaranya Deki Lhazom dan Flora Kameni.
"Untuk semua gol yang dicipta ini, mereka yang memberikan bola dan memberi kepercayaan kepada saya. Terima kasih juga kepada jurulatih yang percaya dan melatih saya," katanya seperti dipetik menerusi CNN Indonesia.
Malaysia bagaimanapun gagal mara ke final selepas tewas 1-5 kepada Thailand, sebelum bangkit menamatkan kejohanan di tempat ketiga menerusi kemenangan 4-0 ke atas Jordan di Super Soccer Arena, Kudus, Indonesia, semalam.
Lim You turut menyumbang satu gol dalam kemenangan itu, manakala kapten Keisha Adeliena Muhammad Khalid meledak menerusi penalti dan turut mencipta tiga bantuan gol.
Isabella Saffiya O'Luanaigh, cucu kepada cef selebriti Chef Wan, melengkapkan kemenangan Malaysia dengan jaringan pada minit akhir.