'Bila pencuri jutaan dibebas dan dilantik jawatan tinggi' - Tun M

Iklan
Dr Mahathir

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan nada sindiran menyifatkan, terlalu banyak perkara pelik yang sedang berlaku di dunia termasuk Malaysia dan kebanyakannya tidak membawa kebaikan kepada umat manusia.

Dr Mahathir berkata, keadaan itu menyukarkan beliau untuk mengulas setiap satu daripada pelbagai kejadian yang berlaku ketika dunia kini berada dalam keadaan bergolak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Malaysia juga tidak terlepas daripada pelbagai perkara yang dianggapnya pelik.

"Pemimpin yang pelik memimpin banyak negara. Mereka juga membuat keputusan yang pelik.

Iklan

"Begitulah keadaannya. Peristiwa berlaku tanpa henti namun, nampaknya tiada siapa yang mengambil berat," ujarnya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah Dr Mahathir, antara perkara lain adalah peperangan yang tidak sepatutnya tercetus tetapi tetap mengorbankan puluhan ribu nyawa selain menyebabkan kemusnahan harta benda dan kerugian besar.

Iklan

Beliau berkata, dunia turut menyaksikan pemimpin sesebuah negara yang dipilih secara demokratik ditangkap oleh negara lain.

“Begitu juga sebuah negara diserang secara tiba-tiba dan pemimpinnya dibunuh sehingga mencetuskan peperangan.

“Kemudian negara yang menyerang melancarkan serangan bom dan roket, manakala negara yang diserang pula bertindak menyerang pangkalan milik pihak penyerang di beberapa negara,” ujarnya.

Dr Mahathir turut menyentuh mengenai tindakan Israel yang menduduki sebahagian daripada wilayah negara lain sebelum mendakwa negara berkenaan melindungi pengganas.

Menurutnya, perang dan genosid di Gaza oleh Israel juga masih berterusan, malah serangan bom serta roket tetap berlaku walaupun ketika tempoh gencatan senjata.

"Sehingga kini kira-kira 73,000 rakyat Gaza telah terbunuh manakala seluruh bandar Gaza musnah dan menjadi runtuhan.

"Seluruh bandar Gaza telah musnah dan menjadi runtuhan. Namun, rakyat Gaza masih berusaha untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

"Selain itu, terdapat peperangan antara Ukraine dan Rusia. Satu peperangan yang tidak masuk akal kerana Ukraine tidak mampu mengalahkan Rusia namun ribuan orang terkorban serta seluruh bandar musnah," ulasnya.