KUALA LUMPUR - Seorang pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan cuba membunuh seorang wanita warga emas dengan membakarnya menggunakan petrol, sehingga mengakibatkan kecederaan serius awal bulan ini.
Ang Kam Tong, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan ke atas pekerja premis menjual nombor ramalan Gan Siew Teen, 62, di premis berkenaan di Taman Pusat Kepong, Sentul di sini pada 7.51 pagi, 9 Ogos.
Pendakwaan mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd Shariff tidak menawarkan sebarang jaminan, atas alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan tidak boleh dijamin selain tertuduh didakwa pernah cuba melarikan diri sebelum ini.
Bagaimanapun, peguam Lee Keng Fatt yang mewakili lelaki itu memohon mahkamah memberikan jaminan, atas alasan anak guamnya bekerja sebagai pemandu e-hailing dengan pendapatan tidak tetap.
"Anak guam saya masih belum berkahwin dan mempunyai adik-beradik. Oleh itu, mohon supaya jaminan dibenarkan,” katanya.
Hakim Datin Surita Budin kemudiannya membenarkan Ang diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, serta menetapkan 25 Sept ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas melecur kira-kira 50 peratus pada bahagian badan, selepas disimbah cecair dipercayai petrol sebelum dibakar di premis tempat kerjanya. - Bernama