PUTRAJAYA - Polis membuat semakan semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian berhubung kes kemalangan maut dua penunggang basikal yang dilanggar kereta di Kilometer 9.0 Jalan Persiaran Selatan di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, semakan semula itu dibuat pegawai penyiasat kes di Putrajaya Command Centre (PCC) Perbadanan Putrajaya (PPj) pada Isnin.
Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan dan pihaknya perlu membuat pengesahan lanjut menerusi semakan rakaman CCTV.
"Ia membabitkan dua waris dan masing-masing seorang pemandu kereta dan kontraktor jalan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam, polis mengesahkan pemandu kereta berusia 40-an terbabit tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Mangsa yang maut di lokasi kejadian ialah Mohd Hilmi Tahar, 48 dan Syazwan Zharif Abdul Karim, 30.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Putrajaya di talian 03-88862138 atau mana-mana balai polis berhampiran.