AOMORI – Kira-kira 1,000 orang berganding tenaga menarik menara utama sebuah istana tradisional seberat kira-kira 400 tan di wilayah Aomori, timur laut Jepun pada Ahad.
Ia sekali gus menggerakkannya sejauh 109 sentimeter lebih dekat ke kedudukan asal selepas dipindahkan 11 tahun lalu.
Iklan
Iklan
Menara utama Istana Hirosaki, yang merupakan khazanah sejarah negara dan terletak di bandar dengan nama yang sama, dipindahkan pada 2015 bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih tembok batu yang menyokong struktur berkenaan dijalankan.
Menjelang akhir tahun ini, menara itu dijangka dipindahkan sejauh kira-kira 78 meter untuk dikembalikan ke lokasi asalnya.
Dalam acara berkenaan, kira-kira 1,000 peserta yang dipilih menerusi cabutan undi dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi menarik gerabak yang membawa struktur istana itu menggunakan tali.
Seramai 4,000 orang dijadualkan menyertai acara sama dari Sabtu hingga Ahad depan dengan sasaran untuk menggerakkan menara tersebut sejauh kira-kira lima meter secara keseluruhan.
“Saya turut menariknya 11 tahun lalu ketika ia dipindahkan dari lokasi asal untuk kerja pembaikan. Saya berasa terharu kerana dapat mengambil bahagian sekali lagi,” kata pelajar sekolah menengah berusia 16 tahun, Mei Umetsu.