SHAH ALAM - Pengumuman rasmi berhubung cuti peristiwa sekiranya Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 hanya akan dibuat malam esok.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengumuman berkenaan akan dibuat bermula jam 8 malam.
"Insya-ALLAH, sebarang pengumuman rasmi berkenaan Cuti Umum Peristiwa (sekiranya ada) hanya akan dibuat pada Majlis Penutup Kejohanan SUKMA 2026 pada 24 haribulan Isnin jam 8 malam nanti.
"Oleh itu sila ambil maklum bahawa poster yang telah tersebar ini adalah palsu dan tidak benar sama sekali," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di media sosialnya susulan penularan infografik yang mendakwa 24 Ogos diisytiharkan sebagai cuti umum di seluruh Selangor.
Menurut Amirudin, setakat ini, 24 Ogos masih kekal hari bekerja di Selangor sehingga pengumuman rasmi dibuat.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan Selangor akan mempertimbangkan cuti peristiwa sekiranya kontinjen negeri itu berjaya muncul juara keseluruhan SUKMA Selangor 2026.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, perkara berkenaan akan dimuktamadkan selepas keputusan kutipan pingat keseluruhan diperoleh pada malam esok.
Beliau memaklumkan, cadangan cuti peristiwa itu akan dikemukakan kepada Amirudin untuk pertimbangan.