Pasangan China sekat impian Aaron-Wooi Yik bergelar juara dunia

Iklan
Aaron (kanan) dan Wooi Yik terpaksa akur tewas di tangan pasangan China dalam aksi final Kejohanan Dunia di New Delhi, India. Foto Agensi

IMPIAN pasangan badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk bergelar juara buat kali kedua dalam tempoh empat tahun pada Kejohanan Dunia 2026 tidak kesampaian.

Gandingan nombor empat dunia itu terpaksa akur tewas di tangan Liang Wei Keng-Wang Chang dari China dalam pertarungan straight set di India sebentar tadi.

Iklan
Iklan

Dalam aksi di Indira Gandhi Indoor Stadium, New Delhi itu, Aaron-Wooi Yik bermula dengan langkah kiri apabila tewas set pertama 17-21.

Mereka cuba bangkit mencatur semula corak permainan, namun pasangan lawan yang berstatus ketiga dunia bijak mengawal gelanggang.

Iklan

Kemenangan akhirnya memihak Wei Keng-Wang Chang yang menutup permainan dengan keputusan 21-16 dalam tempoh 35 minit permainan.

Keputusan tersebut menyaksikan pasangan lawan melebarkan jurang kemenangan kepada 12 berbanding tiga kemenangan memihak gandingan negara.

Iklan

Kejohanan berstatus Gred 1 Acara Utama dunia itu adalah setanding dengan Sukan Olimpik yang tidak menawarkan hadiah wang tunai, tetapi pemenang meraih gelaran yang berprestij selain mata ranking yang tinggi.

Juara meraih 15,000 mata, manakala naib johan sebanyak 12,600 mata dan separuh akhir 10,500 mata.

Aaron-Wooi Yik sebelum ini mencipta sejarah sebagai pasangan Malaysia pertama menjuarai beregu lelaki Kejohanan Dunia pada edisi 2022 di Tokyo.

Mereka meraih gangsa pada edisi 2023 di Copenhagen, manakala kempen tahun lalu terhenti di suku akhir selepas tewas kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.