KUALA SELANGOR - Pengalaman meraih 10 kejuaraan sebelum ini menjadi pembakar semangat buat Mohd Nazri Mohd Rashid, 50, untuk terus memburu kejayaan dalam pertandingan memancing sebagai rekod peribadi.
Usaha anggota polis yang bertugas di Pahang itu akhirnya membuahkan hasil apabila meraih kejuaraan ke-11 selepas muncul juara Cabaran Memancing Pantai Remis di sini pada Ahad.
Mohd Nazri menewaskan lebih 500 peserta selepas berjaya menaikkan ikan belukang seberat 1.37 kilogram (kg) pada jam 12.53 tengah hari.
Kemenangan itu membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.
Tempat kedua menjadi milik Mohamad Hariz Idris, 41, dari Pulau Pinang selepas menaikkan ikan belukang seberat 1.255kg sekali gus membawa pulang RM3,000.
Azmi Abu Bakar, 33, dari Pahang pula menduduki tempat ketiga menerusi tangkapan ikan mayong seberat 1.25kg.
Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Sembilang, Khalid Kamaruddin.
Turut hadir, Pengasas Wakjali Event, Md Zali Kasran dan Pengerusi Persatuan Nelayan Sungai Sembilang, Datuk Wahab Hamid.
Mohd Nazri berkata, dia datang bersama isterinya dari Pahang sebelum isterinya bermalam di rumah mereka di Gombak, manakala dia meneruskan perjalanan bersendirian ke Pantai Remis bagi memburu kejuaraan tersebut.
“Lokasi Pantai Remis memang sudah lama saya nantikan. Tarikan utama di sini ialah ikan belukang, tetapi saya terkejut apabila banyak spesies mayong mendominasi tangkapan hari ini.
“Mujur belukang yang saya naikkan berjaya mengatasi cabaran sengit peserta lain,” katanya yang menggunakan usus ayam sebagai umpan.
Sementara itu, Khalid berkata, pihaknya mengalu-alukan penganjuran acara memancing di Pantai Remis kerana mampu membantu merancakkan sektor pelancongan serta ekonomi penduduk setempat.
“Saya berterima kasih kepada penganjur kerana memilih Pantai Remis sebagai lokasi acara ini.
“Program seperti ini secara tidak langsung dapat menaikkan imej kampung kami, selain memberi manfaat kepada peniaga di kawasan pantai dengan kehadiran ramai pengunjung terutama pemancing.
“Kebanyakan peniaga di sini merupakan penduduk Kampung Sungai Sembilang. Malah, homestay di sekitar Pantai Remis juga penuh ditempah dan kebanyakan penyewanya ialah pemancing,” katanya.