PALANGKARAYA, INDONESIA - Seorang remaja di Indonesia bukan sekadar meminati watak Superman, malah tampil mengenakan kostum adiwira itu ketika membantu pasukan sukarelawan memadam kebakaran hutan di Kalimantan.
Rudiyansah, 17, menyertai pasukan sukarelawan pemadam kebakaran yang ditubuhkan bapanya, Mulyadi, bagi menangani kebakaran tanah gambut di sekitar Palangkaraya, Kalimantan Tengah.
Dia mula membantu bapanya memadam kebakaran sejak 2023 dengan menggunakan masa lapang selepas tamat persekolahan.
Bagaimanapun, tahun ini Rudiyansah mencuri perhatian apabila mengambil keputusan mengenakan kostum Superman ketika menjalankan tugas di kawasan kebakaran.
Menteri Perhutanan Indonesia menggelarnya sebagai 'wira hutan', manakala aksinya menggunakan hos untuk membasahkan kawasan yang terbakar turut dirakam dan tular di media sosial sehingga meraih jutaan tontonan.
"Sejujurnya, saya sangat gembira kerana dapat membantu penduduk tempatan walaupun ia sangat memenatkan," katanya.
Rudiyansah berkata, dia terlebih dahulu membasahkan kostum berkenaan sebelum memasuki kawasan kebakaran bagi mengurangkan risiko kostum itu terbakar.
Dia juga mencuci kostum tersebut setiap malam bagi memastikan kebersihannya sentiasa terjaga.
Sementara itu, Mulyadi berkata, keadaan jerebu akibat kebakaran tahun ini adalah yang paling teruk pernah disaksikan kumpulan sukarelawan berkenaan sejak ditubuhkan pada 2020.
"Di rumah, dia seperti budak biasa tetapi apabila melihat saya keluar, dia akan bertanya, 'Ayah nak padam api? Saya ikut,'" katanya.
Menurut Mulyadi, kekurangan sumber air menjadi cabaran utama pasukan pemadam kebakaran berikutan telaga dan sumber air lain semakin kering akibat kemarau.
Antara Januari hingga Julai lalu, lebih 200,000 hektar kawasan di Indonesia terbakar, iaitu kira-kira tiga kali ganda keluasan Jakarta.
Keluasan berkenaan juga sudah melebihi kawasan yang terbakar ketika musim El Nino pada 2019 dan 2023.
Kerajaan Indonesia turut mengerahkan lebih ramai anggota tentera serta aset udara bagi membantu memadam kebakaran dan mengawal jerebu yang turut merebak ke Malaysia.
Rudiyansah yang bercita-cita untuk menjadi renjer hutan turut menyeru anggota bomba dan sukarelawan di seluruh Indonesia agar terus bersemangat dalam usaha memerangi kebakaran.
"Untuk sukarelawan dan anggota bomba di seluruh Indonesia, teruskan semangat dalam perjuangan melawan api," katanya. - Agensi