KANGAR - Beberapa notis pengosongan telah dikeluarkan sejak Januari lalu sebelum operasi merobohkan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi di sini dilaksanakan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Negeri Perlis (MPNPs), Affendi Rajini Kanth berkata, operasi perobohan binaan berkenaan dijalankan pada jam 8.30 pagi di belakang sebuah hotel, Khamis lalu.
Menurutnya, notis pertama dikeluarkan pada 23 Januari 2026, diikuti notis pada 10 Jun dan 19 Jun lalu bagi meminta pihak berkenaan mengosongkan tanah tersebut.
“Namun tiada sebarang tindakan diambil. Operasi perobohan ini diketuai Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perlis (PPTGPs) bersama MPNPs, Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Bahagian Kerja Tanah (BKT), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Perlis (SAP)," katanya pada Ahad.
Terdahulu, media melaporkan Isu perobohan Kuil Veeramakaliamman sebelum ini mendapat perhatian selepas Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menggesa Barisan Nasional (BN) menilai semula kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) susulan tindakan kerajaan negeri berhubung rumah ibadat berkenaan.
Rayer yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang mendakwa tindakan itu menimbulkan persoalan mengenai keupayaan PN menghormati kepelbagaian kaum dan agama sekiranya diberi peluang mentadbir negara di peringkat Persekutuan.
Jelas Affendi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula telah membantu membuat kawalan keselamatan sepanjang operasi dijalankan.
Menurutnya, tindakan itu dilaksanakan selaras dengan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) yang memperuntukkan kesalahan terhadap mana-mana pihak yang tanpa kebenaran sah menduduki atau membina bangunan di atas tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan.
Dalam perkembangan berkaitan, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan isu perobohan kuil berkenaan perlu dilihat dari sudut pematuhan undang-undang dan kedaulatan peraturan, bukannya dijadikan bahan untuk membangkitkan sentimen agama atau perkauman.
Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah sebelum ini menjelaskan tindakan merobohkan kuil tersebut dilakukan selepas isu pencerobohan tapak berkenaan berlarutan sejak sekian lama walaupun notis telah diberikan.