KOTA BHARU - Rakyat Malaysia yang berkunjung ke Thailand dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan mematuhi sepenuhnya peraturan lalu lintas negara itu susulan peningkatan operasi penguatkuasaan terutama membabitkan kenderaan dari negara ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, beliau dimaklumkan pihak berkuasa Thailand kini lebih agresif menjalankan operasi dan mengeluarkan saman terhadap kenderaan Malaysia yang didapati melanggar peraturan trafik.
Menurutnya, terdapat maklumat mendakwa pihak berkuasa di negara itu menerima imbuhan berdasarkan hasil saman yang dikeluarkan, yang dipercayai antara faktor operasi penguatkuasaan dipertingkatkan.
"Keadaan sekarang ini di Thailand, kita dapat maklum pihak berkuasa mereka sedang mencari kesalahan trafik, terutama sekali. Mereka akan saman semua kenderaan dari Malaysia yang tidak mematuhi peraturan.
"Saya dengarlah katanya mereka boleh beri peratus (imbuhan) kepada pihak berkuasa ini hasil daripada saman-saman tadi. Jadi sebab itu sekarang pihak berkuasa di sana meningkatkan lagi operasi saman dan sebagainya," katanya semasa sidang media Pelupusan Barang Kes Melibatkan Dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Ahad.
Sebelum ini, sekumpulan 17 penunggang motosikal Malaysia yang menyertai konvoi ke Hat Yai, Thailand menerima 15 saman berjumlah 15,000 baht (kira-kira RM1,850) atas pelbagai kesalahan trafik termasuk penggunaan lampu berkelip, sistem ekzos bising dan kesalahan lalu lintas lain.
Pempengaruh media sosial, Tok Singa yang berkongsi pengalaman itu menerusi satu hantaran di media sosial, turut mendakwa pihak berkuasa Thailand mewajibkan penunggang motosikal membawa lesen memandu fizikal kerana salinan yang dicetak daripada sumber dalam talian tanpa gambar tidak diterima.
Beliau menyifatkan tindakan penguatkuasaan itu menyusahkan pelancong yang memasuki Thailand dengan motosikal dan menasihatkan rakyat Malaysia supaya mempertimbangkan semula perjalanan bermotosikal ke Hat Yai.
Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, pihaknya tidak menghalang rakyat Malaysia untuk memasuki Thailand, namun menasihatkan mereka supaya sentiasa berwaspada terhadap keselamatan diri selain memastikan kenderaan mematuhi peraturan ditetapkan.
"Kita tidak menghalang, cuma kita menasihati berhati-hati masuk ke sana," katanya.