Menteri Indonesia kaitkan arah angin punca jerebu rentas sempadan

Iklan
Indonesia mengambil beberapa langkah pencegahan termasuk membasahkan kawasan tanah gambut dan melaksanakan operasi pengubahsuaian cuaca bagi membantu mengawal kebakaran. Foto AFP

JAKARTA - Jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah di Indonesia dilaporkan mula menjejaskan kawasan di Malaysia, dengan pergerakan asap merentasi sempadan dipengaruhi keadaan angin.

Menteri Alam Sekitar merangkap Ketua Badan Pengawalan Alam Sekitar Indonesia, Mohammad Jumhur Hidayat berkata, jerebu bergerak ke Malaysia berikutan arah angin yang berubah-ubah.

Iklan
Iklan

“Kebetulan angin mengarah ke sana, tetapi sering berbolak-balik," katanya.

Beliau berkata, pergerakan jerebu merentasi sempadan banyak dipengaruhi faktor cuaca, terutama arah dan corak angin.

Iklan

Katanya, keadaan itu menyebabkan asap yang bergerak ke Malaysia boleh berubah arah apabila corak angin bertukar.

Pemerintah Indonesia sebelum ini meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi risiko kebakaran hutan dan tanah sepanjang 2026.

Iklan

Data Kementerian Alam Sekitar dan Badan Pengawalan Alam Sekitar Indonesia menunjukkan lebih 32,000 hektar tanah terbakar sehingga Februari, dengan Sumatera dan Kalimantan antara kawasan paling terjejas.

Keadaan cuaca turut menjadi kebimbangan apabila fenomena El Nino dijangka berterusan sehingga awal 2027.

Fenomena itu boleh membawa keadaan lebih kering, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan dan tanah.

Bagi menangani ancaman berkenaan, Indonesia mengambil beberapa langkah pencegahan termasuk membasahkan kawasan tanah gambut dan melaksanakan operasi pengubahsuaian cuaca bagi membantu mengawal kebakaran.

Isu jerebu rentas sempadan bukan perkara baharu di Asia Tenggara. Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam dan Thailand mempunyai mekanisme kerjasama serantau bagi menangani pencemaran jerebu rentas sempadan menerusi Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.

Pada Julai lalu, Indonesia menjadi tuan rumah pertemuan peringkat menteri mengenai pencemaran jerebu rentas sempadan di Bali.

Dalam pertemuan itu, Jumhur menekankan kepentingan kerjasama serantau bagi menangani ancaman kebakaran hutan dan tanah, terutama ketika perubahan corak cuaca meningkatkan risiko kebakaran.

Malaysia turut meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi cuaca panas dan kering serta risiko jerebu yang berkaitan dengan kebakaran terbuka. - Agensi