MELAKA - Tiada sebarang pertemuan antara Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang dijadualkan berlangsung sepanjang keberadaan pemimpin Pas itu di Melaka.
Abdul Hadi dijangka menghadiri Majlis Makan Malam Amal PAS Melaka yang berlangsung di sebuah hotel di negeri ini malam ini.
Ab Rauf berkata, kehadiran Abdul Hadi ke Melaka adalah atas urusan parti dan tidak melibatkan sebarang pertemuan dengannya.
“Tak ada pertemuan. Itu urusan parti dia,” katanya ketika ditemui selepas Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat @ DUN Machap Jaya di Felda Menggong, di sini pada Ahad.
Turut hadir, ADUN Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Datuk Fairul Nizam Roslan; serta Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Sebelum ini Ab Rauf berkata, BN Melaka terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menerusi konsep BN Plus.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada sebarang rundingan rasmi diadakan dengan mana-mana parti berhubung kerjasama berkenaan.
Pada program berkenaan, kerajaan negeri turut menyampaikan pelbagai bantuan kepada penduduk di DUN Machap Jaya antaranya penyerahan kunci rumah baharu bernilai RM70,000 kepada Ishak Alin di Kampung Bukit Bulat menerusi inisiatif Melaka Rumahku.
Sebanyak 26 jenis bantuan perumahan bernilai RM649,000 turut disediakan bagi memberi manfaat kepada 25 keluarga di DUN Machap Jaya menerusi kerjasama Lembaga Perumahan Melaka, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Selain itu, Sumbangan Ziarah Kasih berjumlah RM5,100 disalurkan kepada 51 penerima serta menyumbangkan beras kepada 204 Ketua Isi Rumah daripada tujuh perkampungan Orang Asli di DUN berkenaan.
Dalam aspek kesihatan, sebanyak RM15,000 diperuntukkan bagi penyediaan alat bantu kesihatan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Baru, selain RM1,500 kepada tiga klinik kesihatan.
Bagi sektor pendidikan pula, lebih RM49,000 disalurkan kepada dua sekolah menengah, 13 sekolah rendah, dua pusat tahfiz, tujuh Sekolah Rendah Agama JAIM dan tiga Tadika JAIM.
Sebanyak RM18,000 turut disumbangkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, empat balai polis, Persatuan Keluarga Polis Alor Gajah serta enam Kawasan Rukun Tetangga, termasuk bagi penyediaan peralatan dan barangan pelbagai guna untuk kegunaan komuniti setempat.
Kerajaan negeri juga menyalurkan RM12,000 kepada 24 rumah ibadat di seluruh DUN Machap Jaya, membabitkan tujuh masjid, lima kuil dan 12 tokong.
Bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian rakyat, sebanyak 1,600 kampit beras percuma bernilai lebih RM25,000 turut diagihkan kepada warga DUN Machap Jaya, selain pelaksanaan Jualan Rahmah Madani.
Ab Rauf menegaskan bahawa program berkenaan bukan kempen menjelang PRN, sebaliknya merupakan tanggungjawab kerajaan negeri dalam menyantuni keperluan rakyat.
“Ini memang tugas. Ya, ini bukan kempen. Ini gerak kerja yang kita bergerak sebagai tanggungjawab kita yang diberi amanah oleh rakyat untuk kita menyantuni segala keperluan rakyat dalam tempoh kita menguruskan pentadbiran Negeri Melaka sebelum habis tempoh ini.
“Bila tempoh habis tempohnya? Bila buah masak baru kita tuai,” katanya.