PONTIAN – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Parit Kerimun Darat, Parit Kerimun, di sini awal pagi Ahad.
Mangsa, Azlisham Sulaiman, 51, disahkan meninggal dunia dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.57 tengah malam.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Pegawai Bomba Kanan I Mohamad Nor Hafiz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan 17 anggota dari BBP Pontian dan BBP Pontian Baru dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba pada jam 1.25 pagi dan mendapati sebuah rumah jenis separuh kekal sedang terbakar.
“Pemeriksaan mendapati terdapat seorang mangsa OKU di dalam rumah berkenaan. Mangsa ditemukan dalam keadaan rentung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pasukan bomba menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan pam jentera bagi memadamkan kebakaran.
“Operasi berjaya dikawal pada jam 1.54 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.24 pagi.
“Kemusnahan akibat kebakaran dianggarkan kira-kira 75 peratus, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) dan siasatan masih dijalankan.
“Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini sehingga siasatan lengkap diperoleh daripada pihak berkuasa,” katanya.