Azeem jadikan Bhubaneswar medan persiapan

Iklan
Azeem mahu menjadikan kejohanan di India sebagai persiapan menuju Sukan Asia Aichi-Nagoya.

ATLET sensasi negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi enggan membiarkan catatan 10.29 saat (s) yang menempatkannya di kedudukan kelima 100 meter (m) di Bhubaneswar, India, pada Sabtu menjejaskan persiapannya menuju Sukan Asia Aichi-Nagoya.

Pelari pecut berusia 22 tahun itu menganggap Kejohanan Olahraga Dunia Jelajah Dunia Perak di Stadium Kalinga itu sebagai peluang menilai tahap semasa sebelum menghadapi temasya di Jepun berkenaan dari 19 September hingga 4 Oktober depan.

Iklan
Iklan

Azeem bermula baik dan berada dalam kelompok hadapan, namun gagal mengekalkan momentum pada penghujung perlumbaan untuk menamatkan saingan dalam kelompok podium.

Tshepo Jason Tyantini dari Afrika Selatan muncul juara dengan 10.11s, diikuti Ali Al Balushi dari Oman dengan 10.16s, manakala Dineth Induwara Weer dari Sri Lanka meraih gangsa menerusi 10.27s.

Iklan

Azeem bagaimanapun tidak mahu terlalu memikirkan keputusan berkenaan, sebaliknya terus mengalihkan perhatian kepada tugasan berikutnya.

"Tertangguh, tetapi bukan bermakna dinafikan. Oman pula selepas ini," catat beliau menerusi Instagram Story miliknya.

Iklan

Azeem sebelum ini membuktikan keupayaan di pentas Asia apabila memenangi gangsa Sukan Asia 2022 dengan catatan 10.11s.

Kali ini, dia sekali lagi menjadi antara harapan utama olahraga negara untuk mencabar kelompok podium di Aichi-Nagoya.

Malaysia juga berpotensi menurunkan dua pelari dalam acara 100m apabila juara pecut lelaki SUKMA 2026, Danish Iftikhar Roslee, dijangka turut membawa cabaran negara.