KANGAR - Polis membuka siasatan berhubung cubaan penganjuran Himpunan Merah yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos ini susulan tindakan perobohan sebuah kuil di Bukit Lagi di sini.
Pemangku Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zaihairul Idrus berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berkaitan cubaan penganjuran himpunan berkenaan.
Iklan
Iklan
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihak penganjur akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
“Pihak berkaitan boleh menggunakan saluran undang-undang untuk mengutarakan sebarang tuntutan dengan cara yang sah,” katanya pada Ahad.
Beliau berkata demikian mengulas laporan media berkenaan Pemuda UMNO Bahagian Kangar yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar pada malam Sabtu berkenaan cubaan penganjuran himpunan yang dikaitkan dengan aktivis masyarakat, Arun Doraisamy dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
Ketua Pemuda UMNO Perlis, Saiful Fariddil Jasmi berkata, pihaknya memandang serius penganjuran himpunan berkenaan kerana didakwa berpotensi mencetuskan provokasi dan ketegangan awam.
Dalam pada itu, Zaihairul menasihatkan orang ramai agar tidak memainkan isu agama atau sentimen membabitkan institusi raja, agama dan kaum (3R) yang boleh memecahbelahkan keamanan dikecapi selama ini.