Rumah pekerja jadi stor rokok seludup, 805 karton dirampas

Iklan
Antara karton rokok tidak bercukai yang dirampas dalam operasi pada Jumaat.

KUALA LANGAT - Taktik menjadikan rumah pekerja dalam kawasan bengkel kenderaan berat sebagai stor menyimpan rokok seludup terbongkar selepas polis merampas 805 karton rokok tidak bercukai dalam serbuan di Kampung Sungai Rambai, Jenjarom, di sini pada Jumaat.

Sindiket juga dipercayai menggunakan khidmat syarikat kurier luar sebagai penghantar bagi mengelakkan kegiatan haram itu dikesan pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Serbuan kira-kira jam 6.30 petang itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risik Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kuala Langat.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Amanjit Singh berkata, premis berkenaan merupakan rumah pekerja dalam kawasan sebuah bengkel kenderaan atau lori yang disewa sindiket untuk dijadikan stor penyimpanan rokok seludup.

Iklan

Menurutnya, seorang lelaki tempatan yang ditahan dipercayai berperanan sebagai penjaga premis serta mengatur tempahan rokok untuk dihantar kepada pembeli.

"Modus operandi sindiket adalah menggunakan bengkel kenderaan sebagai lokasi penyimpanan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Iklan

"Sindiket turut membuat penghantaran rokok sekitar jam 8 pagi sehingga selesai kepada pembeli yang terdiri daripada peniaga kedai runcit," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Katanya, rokok berkenaan dipercayai dipasarkan di kedai-kedai runcit milik warga asing di sekitar kawasan Jenjarom.

"Rangkaian sindiket ini dipercayai telah aktif menjalankan kegiatan berkenaan selama kira-kira empat bulan.

"Suspek yang ditahan berperanan menjaga premis dan mengatur tempahan untuk dihantar kepada pembeli yang telah disenaraikan oleh majikannya," katanya.

Menurutnya, berdasarkan rekod, rangkaian sindiket sama pernah ditangkap oleh Batalion 4 PGA dalam operasi di Bukit Raja pada Mac lalu.

"Selain 805 karton rokok pelbagai jenama tidak bercukai kastam, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pengedaran rokok berkenaan.

"Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM304,893.50 dan kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk siasatan," katanya.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

"Masyarakat diingatkan supaya memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.