KOTA BHARU - Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dipercayai lari dari rumah ditemukan pengsan di tepi Jalan Kemuning, Machang pada Khamis.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sebelum itu remaja berkenaan dikatakan telah keluar dari rumah tanpa kebenaran keluarga.
Iklan
Iklan
"Mangsa kemudian menumpang motosikal seorang lelaki yang tidak dikenali. Kami dimaklumkan lelaki berkenaan telah meminta remaja ini membuka pakaian dengan niat ingin melakukan sesuatu kepadanya.
"Remaja ini kemudian dipercayai melarikan diri daripada lelaki berkenaan sampailah pengsan sebelum ditemui orang awam," katanya semasa sidang akhbar Pelupusan Barang Kes Melibatkan Dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Ahad.
Menurut beliau, pemeriksaan doktor setakat ini tiada menunjukkan sebarang kesan pencerobohan seksual terhadap mangsa.
Bagaimanapun ujarnya, siasatan tetap dijalankan bagi mengenal pasti sama ada berlaku cubaan melakukan kesalahan seksual terhadap remaja berkenaan.
"Remaja berkenaan kini berada di hospital bagi mendapatkan rawatan dan berada dalam keadaan stabil," katanya.