Isu kuil Bukit Lagi: Pemuda UMNO Perlis buat laporan polis siasat Himpunan Merah

Iklan
Laporan polis dibuat di IPD Kangar oleh Pemuda UMNO Perlis pada malam Sabtu.

KANGAR - Pemuda UMNO Perlis membuat laporan polis berhubung dakwaan penganjuran Himpunan Merah yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos ini susulan isu perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi di sini.

Ketuanya, Saiful Fariddil Jasmi berkata, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar pada malam Sabtu kerana bimbang himpunan berkenaan boleh mencetuskan provokasi serta menjejaskan ketenteraman awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya memandang serius usaha mengadakan himpunan tersebut yang didakwa mempunyai kaitan dengan isu perobohan kuil berkenaan.

“Sehubungan itu, kami mendesak pihak polis menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut rakyat, mencetuskan suasana tidak aman atau mengganggu ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Saiful Fariddil yang juga Ketua Pemuda UMNO Kangar turut menyeru rakyat Perlis supaya bertenang dan tidak terpengaruh dengan sebarang agenda yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

Menurutnya, sebarang perhimpunan yang berunsur provokasi serta berpotensi menjejaskan perpaduan rakyat tidak seharusnya diberi ruang untuk berlangsung.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan isu perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi mendapat perhatian selepas Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menggesa Barisan Nasional (BN) menilai semula kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) susulan tindakan kerajaan negeri berhubung kuil berkenaan.

Rayer yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang mendakwa tindakan itu menimbulkan persoalan mengenai keupayaan PN menghormati kepelbagaian kaum dan agama sekiranya diberi peluang mentadbir negara di peringkat Persekutuan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini menegaskan isu perobohan kuil berkenaan perlu dilihat dari sudut pematuhan undang-undang dan kedaulatan peraturan, bukannya dijadikan bahan untuk membangkitkan sentimen agama atau perkauman.

Beliau berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai undang-undang dan semua pihak perlu menghormati peraturan berkaitan pemilikan serta penggunaan tanah.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menjelaskan tindakan merobohkan kuil tersebut dilakukan selepas isu pencerobohan tapak berkenaan berlarutan sejak sekian lama walaupun notis telah diberikan.

“Pencerobohan kuil itu dah lama berlaku dan bila kita beri notis sebelum ini, mereka masih gagal untuk berpindah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan terdapat beberapa rumah ibadat lain di sekitar Kuala Perlis, Padang Besar dan beberapa kawasan lain yang dikesan dibina di lokasi tidak dibenarkan.

Abu Bakar berharap tindakan terhadap Kuil Veeramakaliamman itu dijadikan iktibar supaya semua pihak mematuhi proses undang-undang serta mendapatkan kelulusan terlebih dahulu sebelum membina rumah ibadat.