United belum mahu tekan butang panik

Iklan
Carrick (kiri) mahu para pemain United segera memahami kelemahan dan memperbaikinya. Foto AFP.

MICHAEL Carrick enggan menekan butang panik biarpun Manchester United memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kekalahan mengejutkan 0-2 kepada Hull City di Stadium MKM pada Sabtu.

The Red Devils yang mengharapkan permulaan positif selepas menamatkan musim lalu di tempat ketiga sebaliknya dikejutkan dua gol pada separuh masa pertama menerusi Semi Ajayi dan Nobel Mendy.

Iklan
Iklan

Hull, yang baru kembali ke pentas EPL selepas sembilan tahun, tampil agresif dan berani untuk menghukum kelekaan United, terutama ketika berdepan situasi bola mati.

Kegagalan United mengancam kubu lawan selain kelemahan ketika bertahan menyaksikan mereka gagal memberikan respons terhadap tekanan Hull, sekali gus berdepan permulaan musim yang mengecewakan.

Iklan

Carrick mengakui pasukannya mempunyai banyak perkara untuk dipelajari dan diperbaiki selepas dihukum dalam dua situasi yang membawa kepada gol.

"Kami mempunyai beberapa perkara untuk diperbaiki, ia tidak pernah akan sempurna. Apabila ketinggalan, ia menjadi lebih sukar, terutama menentang pasukan yang baru dinaikkan di laman sendiri.

Iklan

"Kami tidak boleh memberikan mereka banyak peluang dan mereka berjaya menciptanya. Kami kecewa tetapi ia tidak akan menjatuhkan kami," katanya.

Pengendali United itu sebelum ini sudah memberi amaran supaya anak buahnya tidak memandang rendah Hull, selain Ipswich yang bakal menjadi lawan mereka minggu depan.

Carrick turut menegaskan beliau tidak akan mengecam pemainnya yang gagal menyerlah, sebaliknya mahu mereka segera memahami kelemahan yang berlaku dan memperbaikinya sepanjang minggu.

"Terpulang kepada kami untuk memahami perkara ini, memperbaikinya sepanjang minggu dan terus menjadi lebih kuat sebagai satu pasukan. Banyak yang boleh kami pelajari daripada perlawanan ini.

"Dua gol memang mengecewakan. Gol itu menentukan perlawanan hari ini dan ada beberapa perkara yang perlu kami perbaiki," katanya.

Carrick menegaskan kekalahan itu tidak akan mengubah hala tuju United, sambil menyeru pasukannya kekal tenang dan bangkit tanpa mencetuskan kekacauan selepas permulaan yang mengecewakan itu.

"Kami datang ke sini untuk menang, jadi sangat mengecewakan apabila gagal melakukannya. Ia bukan perasaan yang menyenangkan tetapi ia tidak akan mengubah hala tuju kami sebagai sebuah pasukan atau kelab.

"Ia boleh berlaku, kami boleh menjadi lebih baik. Ada isu ketika berdepan sistem permainan yang berbeza dan kami perlu mencari jawapan terhadapnya.

"Anda perlu meneruskan seperti biasa. Kami tidak perlu semuanya menjerit dan mencetuskan kekacauan. Tenang tidak bermakna tiada emosi," katanya.