Lori makin banyak, penduduk Manjung Point luah kebimbangan

Iklan
Penduduk menyifatkan kawasan perniagaan berhampiran kediaman tidak sepatutnya dijadikan lokasi alternatif bagi operasi berskala besar yang melibatkan pergerakan kenderaan berat secara berterusan. Gambar kecil: Mohd Ikhmal

MANJUNG - Penduduk di Taman Manjung Point Seksyen 4 dan 5 di sini meluahkan kebimbangan terhadap aktiviti keluar masuk lori dipercayai melibatkan sebuah syarikat kurier yang didakwa semakin aktif di kawasan perniagaan berhampiran kediaman mereka.

Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Manjung Point Seksyen 4 dan 5, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar berkata, keadaan itu menimbulkan rasa tidak selesa lebih-lebih lagi peningkatan jumlah lori yang ketara berada di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada peringkat awal operasi hanya melibatkan satu hingga dua lori dan masih terkawal, namun jumlah tersebut dilaporkan meningkat sehingga mencecah kira-kira 10 kenderaan pada satu-satu masa.

"Aktiviti seperti keluar masuk lori, pemunggahan barangan serta pergerakan parkir secara mengundur menjadi semakin kerap.

Iklan

"Keadaan ini tidak lagi mencerminkan operasi kurier biasa sebaliknya menyerupai sebuah pusat operasi logistik berskala lebih besar," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Ahad.

Beliau berkata, isu berkenaan bukan kali pertama dibangkitkan apabila penduduk sebelum ini pernah mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa tempatan.

Iklan

Katanya, tindakan pernah diambil oleh Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sehingga lori-lori berkenaan dipindahkan, namun keadaan dilaporkan kembali berulang selepas itu.

Sehubungan itu, jelas beliau, KRT telah mengemukakan bantahan rasmi kepada MPM bagi meminta pemeriksaan menyeluruh dilakukan terhadap aktiviti yang dijalankan di premis berkenaan.

"Antara perkara yang dimohon untuk diteliti termasuk kesesuaian aktiviti dengan lesen perniagaan, penggunaan premis bagi operasi logistik, penggunaan ruang parkir awam serta aspek keselamatan dan gangguan kepada komuniti," katanya.

Dalam masa sama, Mohd Ikhmal berkata, pihaknya tidak menolak kepentingan aktiviti perniagaan, namun ia perlu dilaksanakan dengan mengambil kira kesesuaian lokasi.

"Kami tidak menghalang mana-mana pihak menjalankan perniagaan, tetapi setiap operasi perlu mengambil kira aspek keselamatan, keselesaan serta ketenteraman penduduk setempat.

"Jika operasi memerlukan banyak lori dan ruang parkir yang besar, adalah lebih sesuai ia dijalankan di kawasan yang dikhaskan untuk aktiviti logistik," katanya.