Guna permit gali pasir buat lombong emas

Iklan
Kegiatan melombong emas disyaki berselindung di sebalik permohonan mengeluarkan pasir terbongkar selepas PGA menyerbu sebuah kawasan di Kuala Betis, Gua Musang pada Sabtu. Foto PGA

GUA MUSANG - Kegiatan melombong emas disyaki berselindung di sebalik permohonan mengeluarkan pasir terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah kawasan di Kuala Betis di sini pada Sabtu.

Dalam operasi kira-kira jam 4 petang itu, empat lelaki termasuk seorang warga China ditahan dan menyita pelbagai jentera serta peralatan perlombongan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1.13 juta.

Iklan
Iklan

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi bersepadu menerusi Op Gali Mega (Zon Timur) itu dijalankan hasil maklumat risikan berkaitan kegiatan mengorek pasir dipercayai untuk tujuan perlombongan emas secara haram.

Menurut beliau, serbuan dilakukan Pasukan Risik Ibu Pejabat Briged Tenggara dengan kerjasama Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman serta pegawai penguat kuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan.

Iklan

"Setibanya di lokasi di Jalan Masjid RPK, Kuala Betis, pasukan mendapati pintu pagar kawasan berkenaan berkunci dari dalam sebelum memasuki kawasan itu untuk menjalankan pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan, pasukan menemukan empat lelaki berada di hadapan sebuah bangsal dalam keadaan mencurigakan," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Iklan

Ahmad Radzi memberitahu, tiga daripada mereka adalah lelaki warga tempatan berusia antara 19 hingga 64 tahun, manakala seorang lagi lelaki warga China berusia 50 tahun yang memiliki pasport sah.

Ujar beliau, pemeriksaan tubuh badan ke atas semua suspek tidak menemukan sebarang barang salah.

"Turut ditemukan sebuah kontena berwarna kuning yang berkunci dan pemeriksaan di dalamnya menemukan 51 keping karpet rumput pelbagai saiz serta tiga gulung karpet rumput," katanya.

Menurut beliau, nilai dua jengkaut yang disita dianggarkan RM1 juta, manakala dua palong bernilai RM60,000, dua mesin penyedut RM25,000 dan dua genset RM25,000.

Ujarnya, turut disita 51 keping karpet rumput bernilai RM10,200 dan tiga gulung karpet rumput bernilai RM15,000.

"Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM1,135,200. Tiada mineral atau emas dirampas dalam tindakan ini," katanya.

Tambah beliau, ketika pemeriksaan, salah seorang suspek turut menyerahkan salinan permohonan permit mengeluarkan pasir di Sungai Nenggiri, Mukim Kuala Betis.

Bagaimanapun ujarnya, berdasarkan pemeriksaan awal, aktiviti di lokasi tersebut disyaki melibatkan salah guna permohonan atau permit berkaitan pengeluaran pasir bagi menjalankan aktiviti perlombongan emas.

"Kesemua empat individu ditahan untuk membantu siasatan, manakala semua peralatan disyaki berkaitan aktiviti berkenaan diserahkan kepada PTG Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang," katanya.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 158, Enakmen Mineral Negeri 2001 kerana disyaki menjalankan aktiviti perlombongan emas tanpa lesen atau pajakan sah serta salah guna dokumen atau permohonan berkaitan pengeluaran pasir.

Ujar Ahmad Radzi, siasatan lanjut akan dijalankan bagi menentukan status sebenar aktiviti berkenaan serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab termasuk pemilik, pengendali atau pihak berkepentingan terhadap jentera dan peralatan yang ditemukan.