KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji tidak akan diketepikan dan berjanji akan membahaskan perkara itu semasa persidangan Parlimen Oktober ini.
Ketua Whipnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu akan dibangkitkan semasa perbahasan bajet.
"Kita sudah tahu naratif yang telah dibawa oleh Pakatan Harapan (PH) dalam RCI Tabung Haji," katanya semasa sidang akhbar pada malam Sabtu.
Sebelum itu beliau menyampaikan ceramah isu semasa peringkat Parlimen Kota Bharu di Jalan Seri Cemerlang di sini.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, sebahagian besar ahli Parlimen blok Pembangkang bertindak keluar dewan selepas usul penangguhan sidang khas Dewan Rakyat untuk membahaskan laporan RCI mengenai TH ditangguhkan, ditolak Speaker, Tan Sri Johari Abdul.
Sebelum sesi penerangan menteri bermula, Takiyuddin bangkit dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3) susulan ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun Johari menegaskan, ia tetap diteruskan seperti dijadualkan dengan sesi penerangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Dalam pada itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas menegaskan parti itu turut mempertahankan pendirian pihaknya membangkitkan isu dasar luar negara, termasuk persoalan mengenai pendekatan kerajaan terhadap isu China dan Taiwan.
Beliau berkata, sebagai parti politik, Pas berhak menyatakan pendirian dan ketidaksetujuan terhadap sesuatu isu dasar luar negara.
"Sekarang ini jelas, dasar luar Malaysia ialah dasar bebas dan berkecuali, tidak campur tangan dalam hal ehwal negara lain," katanya.
Menurut Takiyuddin, Malaysia sebelum ini mengambil pendekatan tidak campur tangan dalam isu China dan Taiwan, sebaliknya mengadakan hubungan dengan pihak yang bertelagah bagi menggalakkan perdamaian dan keamanan.
Sehubungan itu, ujar beliau, Pas mempersoalkan sama ada pendekatan yang dibangkitkan berhubung isu China dan Taiwan merupakan dasar baharu kerajaan.
Namun, beliau menegaskan, tindakan Pas membangkitkan isu dasar luar tidak bermakna parti itu mengetepikan isu RCI Tabung Haji.