SHAH ALAM - Pengalaman menjaga bapa yang menghidap dementia sejak 2023 memberi ruang kepada Leong Jui Chuan dan keluarganya untuk melihat kehidupan daripada sudut berbeza.
Leong Jui Chuan, seorang ejen pelancongan, berkongsi pengalaman mengenai bapanya, Leong Choong Mun, 83, menerusi Facebook Dementia Group Malaysia.
“Hari ini bawa ayah, 83 tahun yang hidap dementia sejak 2023 naik LRT3. Masih elok lagi dia berjalan, makan, cuma perlu reassure dia kat mana lokasi, pukul berapa, berapa haribulan, nak buat apa hari ini.
“Kadang masa dia lost akan geledah rumah, pernah panjat pagar keluar merayau sampai orang jumpa hantar balai,” katanya.
Menurutnya, bapanya kini tinggal bersama abang dan ibunya, manakala dia yang sudah berkahwin dan tinggal di tempat lain akan pulang selang hari untuk meluangkan waktunya bersama bapanya itu.
“Saya cuba balik selang hari bagi aktiviti, bawa keluar kedai kopi atau taman, tengok orang, bersosial, ubah keadaan sekeliling untuk stimulate otak dia supaya perlahankan down trend dementia,” katanya.
Jui Chuan turut berkongsi beberapa idea aktiviti di rumah seperti bermain board game, snake and ladder, puzzle, UNO dan stacker, selain soal jawab matematik, ejaan, mengira wang, soalan berkaitan hari serta bercakap bahasa lain yang difahami.
Katanya, sebelum ini ayahnya bekerja sebagai setiausaha Persatuan Pedagang Cina sehingga umurnya 80 tahun.
"Dia kena katarak, buat surgeri, tidak pulih penglihatannya sebab saraf mata dah uzur. Bila tak berapa nampak, maka tidak boleh membaca dan menulis.
“Terpaksa berhenti kerja. Lepas berhenti, tiada hala tuju dan hari-hari di rumah, otak kurang cergas, maka dementia dah mula naik,” katanya.
Selepas bapanya menghidap dementia, Jui Chuan berkata, lelaki itu tidak lagi mengingati barangan fizikal yang dimilikinya, sedangkan sebelum ini gemar menyimpan barang secara berlebihan.
“Bila kami nampak dia dah tak ingat, tak kisah, kami mula organize barang dia.
"Ambil masa tiga bulan untuk buang barang yang dah rosak, tak guna, kosongkan bilik dia supaya lebih kemas dan normal untuk manusia huni,” katanya.
Ujarnya, keadaan itu membolehkan keluarganya mengemas semula bilik bapanya dan turut memberi ruang untuk mereka memaafkan pengalaman kurang menyenangkan pada masa lalu.
“Satu-satunya positif yang saya rasa dari dementia ayah, kami dapat kemaskan balik bilik dan dia selesa di ruangan yang lebih lapang, kemas dan teratur.
“Saya maafkan memori tidak indah, maafkan diri saya dan sebenarnya healing bagi semua orang.
"Sekarang cuma perlu amalkan sikap positif dan apa hal yang dia buat, kita anggap saja dia tu comel.
"Kadang-kadang dia buat hal, kami anggap dia macam budak kecil tak pandai lagi,” katanya.
Perkongsian itu turut disertakan refleksi Jui Chuan supaya seseorang melakukan perkara yang baik ketika masih muda, selain mendapat respons positif pengguna media sosial yang saling memberikan sokongan.
“Bila time muda, fikir, cakap dan buat benda baik-baik sahaja. Sebab nanti dah tua, benda tu akan ulang tanpa disedari,” katanya.