Final kejohanan dunia tanpa tekanan - Wooi Yik

Iklan
Aaron (kanan) dan Wooi Yik akan berdepan pasangan China dalam saingan akhir Kejohanan Dunia di New Delhi malam ini.

GANDINGAN badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mahu turun pada aksi final Kejohanan Dunia di New Delhi, India malam ini dengan tenang tanpa dibebani tekanan dalam misi memburu peluang untuk kembali menjulang gelaran dunia.

Wooi Yik berkata, kejayaan mara ke final buat kali kedua menjadi suntikan semangat buat mereka selepas melalui pelbagai cabaran, namun enggan menganggap pencapaian itu sesuatu yang perlu diraikan secara berlebihan.

Iklan
Iklan

“Sejujurnya, selepas banyak perkara yang berlaku, berjaya mara ke final sekali lagi adalah satu suntikan semangat yang baik buat kami. Tetapi bagi saya, ia bukan sesuatu yang perlu terlalu diraikan atau dibesar-besarkan. Saya anggap ia perkara biasa,” katanya.

Pasangan negara yang berstatus keempat dunia mara ke pentas akhir selepas menyingkirkan gandingan nombor satu dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, 21-17, 21-18 dalam tempoh 43 minit dalam aksi di Indira Gandhi Indoor Stadium.

Iklan

Menanti mereka dalam aksi akhir ialah pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang yang menewaskan Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Dalam saingan itu nanti, Wooi Yik juga mahu beraksi tanpa dibebani status sebagai pasangan pilihan utama selepas sekian lama berada dalam kelompok berkenaan.

Iklan

Kemenangan itu cukup bermakna buat Aaron-Wooi Yik selepas mereka tewas tiga daripada empat pertemuan dengan pasangan Korea berkenaan, termasuk dua aksi terakhir.

Mengulas aksi separuh akhir itu, Aaron berkata, mereka mengubah corak permainan ketika berdepan pasangan Korea Selatan yang sudah banyak kali ditemui di gelanggang.

“Saya fikir kami perlu bermain secara berbeza daripada kebiasaan apabila menentang mereka. Kami sudah banyak kali bertemu di gelanggang, jadi kami memerlukan sesuatu yang berbeza untuk menewaskan mereka,” katanya.

Aaron-Wooi Yik sebelum ini mencipta sejarah sebagai pasangan Malaysia pertama menjuarai beregu lelaki Kejohanan Dunia pada edisi 2022 di Tokyo, selain meraih gangsa pada edisi 2023 di Copenhagen.

Kempen tahun lalu pula terhenti di suku akhir selepas tewas kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.