KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan hubungan erat antara kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan beliau dengan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah akan terus diperkukuh berteraskan semangat saling menghormati dan kepercayaan.
Menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu, Anwar memaklumkan perkara itu antara yang dibincangkan beliau bersama-sama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Bandar Seri Begawan, Brunei, hari ini.
Abang Johari dan Hajiji antara pemimpin dalam delegasi Malaysia bagi Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Ke-27 (ALC-27).
Anwar berkata, antara perkara yang turut disentuh dalam pertemuan itu ialah persediaan menjelang Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dijadual berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah dalam tempoh beberapa minggu lagi.
"Kami turut bertukar pandangan terkait beberapa perkembangan mutakhir, selain memberi tumpuan kepada ikhtiar memperkukuh kerjasama antara kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan yang lebih adil dan seimbang," kata beliau.
Pada ALC-27, Malaysia dan Brunei secara prinsip bersetuju untuk memudahkan akses pergerakan rakyat kedua-dua negara termasuk memperbaiki isu imigresen selain meminta jawatankuasa teknikal di peringkat Persekutuan dengan kerjasama Sarawak dan Sabah supaya mempercepat proses berkaitan rundingan berkenaan.
Anwar tiba di Bandar Seri Begawan semalam bagi lawatan kerja dua hari bersempena dengan penganjuran ALC-27. - Bernama