Anggota APM dipatuk ular ketika demonstrasi

Iklan
Anggota APM dibawa ke HoSHAS selepas pitam akibat dipatuk ular ketika melakukan demonstrasi pengendalian reptilia di Dewan Taman Temerloh Jaya pada Sabtu. - Foto: APM

TEMERLOH – Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) selepas dipatuk ular ketika melakukan demonstrasi pengendalian reptilia di Dewan Taman Temerloh Jaya di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu, mangsa, Sarjan Pertahanan Awam (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin, 39, dipatuk pada bahagian kuku jari tengah tangan kanan ketika menjalankan demonstrasi berkenaan.

Iklan
Iklan

Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, APM Daerah Temerloh dijemput menyertai Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat dengan mengadakan demonstrasi pengendalian ular kepada peserta.

Menurutnya, ketika demonstrasi berlangsung, anggota berkenaan dipatuk ular pada jarinya sebelum bertindak keluar dari dewan untuk mencuci tangan.

Iklan

“Anggota terbabit kemudian pitam di luar dewan dan kemudiannya dihantar ke Bahagian Kecemasan HoSHAS Temerloh untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Che Adam berkata, setakat jam 1 tengah hari, anggota terbabit masih menerima rawatan dan berada di bawah pemantauan doktor di Zon Merah HoSHAS.

Iklan

“Keadaan kesihatan anggota berkenaan terus dipantau oleh pihak hospital dan APM sementara menunggu perkembangan lanjut,” ujarnya.