Kuota naik, skuad lebih padu

Iklan
Langkah MFL menambah 5 kuota pendaftaran pemain tempatan bagi saingan Liga-M 2026-2027 mendapat reaksi positif daripada beberapa kelab

LANGKAH Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menambah lima kuota pendaftaran pemain tempatan bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2026-2027 mendapat reaksi positif daripada beberapa kelab, terutama dalam membantu pasukan menguruskan skuad ketika berdepan jadual pertandingan yang semakin padat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan menyifatkan keputusan itu sebagai langkah yang bersesuaian dengan keperluan semasa, khususnya mengambil kira komitmen The Cats dalam beberapa kejohanan musim depan, termasuk Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan Kejuaraan Kelab Asia Tenggara.

Iklan
Iklan

“Penambahan daripada 33 kepada 38 pemain, termasuk lima pemain tempatan, sememangnya satu keputusan yang positif. Bagi kami di Kuching City FC, tambahan ini amat membantu kerana jumlah perlawanan yang perlu ditempuhi musim ini agak banyak, khususnya membabitkan ACL2 dan Kejuaraan Kelab Asia Tenggara.

“Dengan jadual yang padat, risiko kecederaan juga perlu diberi perhatian. Jadi, mempunyai tambahan pemain sudah tentu memberi manfaat. Bagaimanapun, kemampuan kewangan setiap kelab juga perlu diambil kira.

Iklan

“Bagi Kuching City FC, kami tidak mempunyai pasukan simpanan dan sebelum ini banyak bergantung kepada pasukan Piala Presiden serta skuad belia sebagai sumber tambahan pemain,” katanya.

Sebelum ini, MFL mengumumkan Ahli Lembaga Pengarahnya telah meluluskan penambahan lima kuota pemain tempatan untuk semua kelab yang beraksi dalam Liga-M 2026-2027.

Iklan

Dengan perubahan tersebut, setiap kelab kini dibenarkan mendaftarkan maksimum 38 pemain berbanding 33 sebelum ini, terdiri daripada 15 pemain asing dan sehingga 23 pemain tempatan.

Keputusan berkenaan dibuat selepas JDT dan Kuching City FC mengemukakan permohonan susulan komitmen mereka dalam saingan antarabangsa.

Kedua-dua pasukan bakal menghadapi jadual lebih mencabar apabila beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia Elit dan Kejuaraan Kelab Asia Tenggara, selain perlu meneruskan saingan domestik.

Penambahan kuota itu pada masa sama dilihat membuka peluang lebih besar kepada pemain tempatan untuk berada dalam senarai pendaftaran skuad utama kelab Liga-M.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus pula, pertambahan kuota tidak semestinya menyebabkan kelab mengubah pendekatan pengambilan pemain secara besar-besaran.

Sebaliknya, beliau melihat peraturan baharu itu sebagai ruang tambahan untuk kelab menyusun skuad dengan lebih fleksibel, bergantung kepada keperluan pasukan dan kemampuan masing-masing.

Katanya, proses mendapatkan pemain masih perlu mengambil kira aspek kewangan selain perancangan pasukan untuk tempoh jangka panjang.

“Pertambahan kuota ini memberi kelab lebih banyak ruang untuk menguruskan skuad, khususnya jika terdapat pemain tempatan yang menepati keperluan pasukan.

“Namun, kami melihatnya sebagai satu pilihan tambahan dan bukannya kewajipan untuk memenuhi kesemua kuota yang tersedia.

“Bilangan pemain yang didaftarkan juga tidak bermakna mereka secara automatik akan memperoleh lebih banyak minit permainan kerana peluang beraksi tetap bergantung kepada prestasi, tahap kesiapsiagaan serta persaingan dalam pasukan,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Mohd Syahrizan Mohd Zain, turut menyambut baik keputusan MFL berkenaan yang disifatkannya mampu memberikan lebih banyak pilihan kepada kelab, khususnya apabila memasuki jendela perpindahan kedua.

Menurut beliau, tambahan kuota itu boleh dimanfaatkan sekiranya sesebuah pasukan berdepan masalah kecederaan atau perlu melakukan penyesuaian terhadap struktur dan komposisi skuad.

“Keputusan ini sememangnya mempunyai manfaat kerana ia boleh membantu perkembangan pemain tempatan, selain membuka lebih banyak ruang untuk mereka berada dalam skuad setiap pasukan.

“Jika berlaku kecederaan, kelab akan mempunyai lebih banyak pilihan ketika jendela perpindahan kedua untuk melakukan perubahan atau mendapatkan pemain yang diperlukan.

“Secara keseluruhannya, dengan pertambahan kuota ini, peluang untuk lebih ramai pemain tempatan mendapat tempat dalam skuad pasukan juga dilihat semakin terbuka,” katanya.