Malaysia, Brunei bimbang ketegangan, konflik di Asia Barat semakin memuncak

Iklan
Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah mengaminkan doa selepas Istiadat Penganugerahan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K.) di Istana Nurul Iman. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Brunei menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan ketegangan dan konflik yang kembali tercetus di Asia Barat, khususnya melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran, serta serangan balas terhadap beberapa negara di rantau itu.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan susulan Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-27 di Bandar Seri Begawan pada Sabtu, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keadaan itu mengakibatkan korban awam, kerosakan infrastruktur serta situasi kemanusiaan yang semakin buruk.

Iklan
Iklan

"Mereka menggesa semua pihak supaya menahan diri, mengelakkan ketegangan terus meningkat, menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah semua negara serta kembali kepada dialog dan diplomasi bagi menamatkan konflik dan mencapai penyelesaian,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin turut mengambil maklum bahawa keadaan itu telah mengganggu lalu lintas maritim melalui Selat Hormuz, sekali gus menjejaskan rantaian bekalan global bagi tenaga dan barangan keperluan.

Iklan

"Sehubungan itu, mereka menekankan kepentingan mengekalkan keselamatan maritim serta menjunjung kebebasan pelayaran dan penerbangan selaras dengan undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).

"Mereka menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap sebarang langkah diskriminasi atau unilateral yang tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa serta menggesa supaya laluan transit kapal dan pesawat yang selamat, tanpa halangan dan berterusan di Selat Hormuz dipulihkan selaras dengan UNCLOS 1982,” menurut kenyataan itu.

Iklan

Mengenai Palestin, kedua-dua pemimpin menegaskan bahawa isu Palestin kekal sebagai punca utama konflik dan ketidakstabilan lebih meluas di rantau itu serta mengecam keras tindakan pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik berterusan yang dilakukan Israel sebagai Kuasa Pendudukan.

Mereka turut mengecam keganasan tanpa mengira sasaran serta sekatan terhadap akses kemanusiaan dan penyaluran bantuan yang mengakibatkan korban besar-besaran serta penderitaan berpanjangan rakyat Palestin.

Kedua-dua pemimpin menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas untuk menamatkan kitaran tindakan tanpa hukuman, termasuk dengan memastikan undang-undang antarabangsa dihormati dan gencatan senjata kekal dicapai, ke arah menamatkan pendudukan serta serangan oleh Kuasa Pendudukan.

Kedua-dua pemimpin turut mengalu-alukan momentum global yang semakin meningkat ke arah pengiktirafan negara Palestin dan mengulangi gesaan supaya Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam konteks serantau yang lebih luas, kedua-dua pemimpin turut mengecam keras tindakan menyasarkan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), yang terdiri daripada anggota Batalion Malaysia dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Kedua-dua pemimpin menegaskan bahawa keselamatan anggota PBB mesti dijamin sepenuhnya serta menggesa semua pihak mengambil langkah segera dan konkrit bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap semua serangan ke atas anggota PBB serta premis mereka dikenakan tindakan.

Mereka turut menggesa mandat UNIFIL dihormati sepenuhnya selaras dengan resolusi PBB berkaitan, termasuk Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 (2006) dan 2823 (2026). - Bernama